Azalina Othman.
Azalina Othman.
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) Johor menterjemahkan aspirasi perpaduan Kerajaan Madani selepas kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) berjaya mempertahankan kerusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram, semalam.

Ketua Penerangan Umno Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pemimpin-pemimpin Umno yang diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga sentiasa berusaha membantu dua calon PH pada pilihan raya itu.

"Terima kasih kepada Presiden BN serta barisan kepimpinan BN Johor diterajui Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang tidak lekang berusaha memperjuangkan kestabilan kerajaan melalui kempen berterusan dan menggerakkan jentera BN membantu kedua-dua calon ini," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kemenangan itu membuktikan apa yang dilaksanakan kerajaan pusat bukan sekadar retorik sebaliknya kesungguhan untuk mengenepikan perbezaan politik.

"PH-BN Johor berjaya lalui ujian ketiga ini atas landasan perpaduan kerana apa yang dicanangkan dan dilaksanakan di peringkat kerajaan pusat bukan sekadar retorik, tetapi kesungguhan untuk mengenepikan perbezaan politik demi sebuah kerajaan yang stabil untuk membawa kemakmuran.

"Keyakinan pengundi terhadap dua wakil rakyat ini juga perlu diterjemahkan oleh kerajaan dengan melipatgandakan segala usaha untuk menangani apa jua isu komuniti, ekonomi dan kehidupan yang didepani rakyat," katanya.

Pada PRK semalam, calon PH Suhaizan Kaiat dan Nazri Abdul Rahman, masing-masing memenangi kerusi Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 10:34 AM