Ahmad Maslan.
Ahmad Maslan.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Sehingga kini tiada ciri-ciri menunjukkan PN mampu membuat kejutan esok kerana saya di lapangan di kedua-dua kawasan, saya mampu melihat dan mengetahui apa yang berlaku," kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor berkata, beliau yang meluangkan masa di kedua-dua lokasi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Parlimen Pulai yakin calon dari kerajaan perpaduan amat berpotensi untuk menang.

"Saya sudah pergi selang sehari ke kedua-dua kawasan, sekiranya semalam saya di Simpang Jeram, hari ini saya di Pulai, oleh itu saya mengetahui sentimen di lapangan.

"Sekiranya kita menang 10,000 undi di Parlimen Pulai, kita kira menanglah, malah sekiranya kita menang 1,000 undi di Simpang Jeram pun kira kita menang juga walaupun atas kertas kita mengharapkan undi yang lebih.

"Di Pulai kita amat yakin kita boleh menang di begitu juga di Simpang Jeram," katanya.

Beliau berkata, pihaknya yakin pengundi di kedua-dua kawasan berkenaan dapat memberi sokongan penuh kepada calon dari kerajaan perpaduan.

"Mungkin ada yang mencari lambang dacing esok, namun tiada. Kita jangan rosakkan kertas undi.

"Kita sudah bersahabat dengan Pakatan Harapan (PH) menerusi kerajaan perpaduan dan kita ambil peluang untuk menyokong Suhaizan Kaiat dan calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Ir Nazri Abdul Rahman.

"Jika pengundi memilih calon Kerajaan Perpaduan, mereka memilih perpaduan, pembangunan serta keserasian antara kerajaan pusat dan negeri.

"Apabila kerajaan negeri dan pusat ditubuhkan, Pulai dan Simpang Jeram perlu berada dalam kerajaan bukan pembangkang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 5:16 PM