Omar Ahmad


Johor Bahru : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi lebih 70 peratus pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, esok.

Pengerusi SPR, Tan Seri Abdul Ghani Salleh berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan peratusan keluar mengundi di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

"Jangkaan peratusan keluar mengundi, mengikut trend terkini (PRN), kita berharap di Parlimen Pulai ini dapat lebih 70 peratus. Sebab sebelum ini (PRN) peratusan keluar mengundi agak rendah begitu juga di Simpang Jeram.

"Kita seru semua pengundi untuk keluar mengundi pada esok. Jangan lupa jaga kad pengenalan masing-masing dan jangan beri kepada orang yang tidak tentu supaya proses pengundian esok berjalan lancar. Kita harapkan pengundi keluar pada masa yang digalakkan," katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan dan semakan akhir SPR bagi PRK Parlimen Pulai di Bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah SPR Johor Nor Nekman Jaimon.

Waktu mengundi bermula 8 pagi hingga 6 petang, esok, dengan 294 saluran di 47 pusat mengundi di Parlimen Pulai serta 68 saluran di 14 pusat mengundi bagi DUN Simpang Jeram.

Jelas Abdul Ghani, pihaknya menjangkakan keputusan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram akan diperolehi lebih awal.

"Ia berdasarkan PRN terdahulu yang mana keputusan dapat diperolehi agak awal. Kalau tiada aral melintang, Insya-Allah lepas Isyak kita dapat mengumumkan keputusan," katanya.

Bagi pengundi yang bekerja di Singapura, Abdul Ghani memohon agar mereka pulang untuk menunaikan tanggungjawab.

PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 12:49 PM