AMIRUDIN, gambar fail. FOTO Faiz Anuar
AMIRUDIN, gambar fail. FOTO Faiz Anuar
BERNAMA

Kuala Kubu Bharu: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengakui berlaku kekurangan beras cap Ehsan keluaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor antara 10 hingga 15 peratus awal bulan lalu, namun kini keadaan terkawal.

Beliau berkata, kekurangan itu diketahui menerusi hasil laporan Jualan Ehsan Rahmah (JER) di seluruh Selangor, dan pihaknya telah meminta Exco Kemajuan Infrastruktur, Permodenan Pertanian dan Perladangan, Izham Hashim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memantau isu berkenaan dengan lebih teliti.

"Namun begitu saya percaya hal itu telah kita tangani dengan beberapa pengeluaran dan juga lebihan beras daripada Sekinchan yang merupakan antara kawasan pengeluaran padi dan beras negeri.

"Saya memantau hal ini dengan cukup teliti daripada hari ke hari dan insya-Allah kita akan atasi (isu ini) kalau berlaku kekurangan di mana-mana daerah, setakat ini laporannya tidak begitu kritikal dan terkawal," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Konvokesyen Universiti Selangor Kali Ke-17 di sini hari ini.

Amirudin berkata, bagi keseluruhan JER, pihaknya telah membelanjakan lebih daripada RM20 juta dan program itu berjalan hampir setahun.

"Kita akan sambung lagi (program ini) kerana kita nak tunggu harga stabil dan harga barangan berkurangan. Subsidi RM3 untuk beras diteruskan, malah bukan beras sahaja tetapi ayam, telur masih kekal dan itu adalah untuk kurangkan beban rakyat.

"JER memang akan dibuat dan yang penting juga saya akan pastikan bekalan di gerai-gerai atau pun pasaraya cukup lebih penting dan pastikan jualan ehsan diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 5:35 PM