SALAHUDDIN Ayub bersama Amirudin Shari (kiri) merasmikan Jualan Mega Ehsan Rahmah di Dewan Serbaguna MPAJ AU2, Taman Keramat. FOTO Fathil Asri
SALAHUDDIN Ayub bersama Amirudin Shari (kiri) merasmikan Jualan Mega Ehsan Rahmah di Dewan Serbaguna MPAJ AU2, Taman Keramat. FOTO Fathil Asri
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Ampang Jaya: Orang ramai boleh menikmati penjimatan harga barang keperluan asas sehingga 30 peratus menerusi Program Jualan Mega Ehsan Rahmah (JER) yang dilancarkan, hari ini.

Menteri Hal Ehwal Pengguna dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, JER memfokuskan kepada tujuh jenis makanan iaitu ayam, beras, telur ayam, minyak masak, ikan, gula pasir dan daging beku.

Menurutnya, inisiatif itu dijalankan melalui kerjasama KPDN dan Kerajaan Negeri Selangor yang menggabungkan inisiatif Payung Rahmah dan Jualan Ehsan di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Selangor.

"JER adalah sinergi dua program antara KPDN dan Kerajaan Negeri Selangor yang sudah pasti rakyat mendapat keuntungan.

"KPDN sentiasa memikirkan bagaimana konsep seperti JER ini dapat kita langsungkan malah KPDN sentiasa proaktif mengadakan libat urus bersama pemain industri," katanya selepas melancarkan program JER bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari di Dewan Serbaguna MPSJ, AU2, di sini, hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata, pihaknya menganggarkan penjimatan mencecah RM18 juta dinikmati penduduk Selangor sejak Program Jualan Ehsan dilancarkan tahun lalu.

Katanya, kerjasama pihaknya dan KPDN diharap dapat membantu lebih ramai rakyat memerlukan terutama golongan B40.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 11:56 AM