Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan negeri akan meneruskan program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) 2.0 pada 15 Januari depan yang dijangka memberi manfaat kepada 800,000 penduduk Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata program berkenaan juga akan membabitkan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Koperasi Warga Hijrah Selangor (Kohijrah).

"Asas perbincangan sudah kita buat dan dianggarkan RM10 juta ke RM15 juta perlu dibelanjakan kerajaan negeri untuk meneruskan usaha mengurangkan bebanan rakyat sebelum harga dan kawalan yang dilaksanakan kerajaan di peringkat Persekutuan mendatangkan hasil.

"Kalau sebelum ini, JER menawarkan barangan basah seperti ayam, ikan, daging, telur, beras serta minyak masak. Selepas ini kita akan perbaiki dan insya-Allah ia akan datang dengan skala yang lebih besar dan bergantung kepada barangan dari Kohijrah serta pembekal kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Jelajah Ehsan Rakyat di Wisma PKPS dekat sini, hari ini.

Mengulas mengenai penambahan lokasi JER, Amirudin berkata ramai yang ingin program berkenaan dijalankan setiap hari di tempat masing-masing bagaimanapun ia tertakluk kepada kemampuan kerajaan negeri.

Amirudin sebelum ini mengumumkan inisiatif JER pada 31 Ogos lalu dan program itu dilaksanakan di sembilan daerah hampir setiap hari.

Siri JER yang bermula pada September berjaya memanfaatkan lebih 500,000 pembeli dengan subsidi berjumlah RM5 juta.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang menguruskan jualan murah berkenaan menawarkan barangan seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual pada harga murah ialah ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

 AMIRUDIN beramah mesra bersama petugas yang diraikan pada Majlis Apresiasi Jelajah Ehsan Rakyat di Wisma PKPS, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar.
AMIRUDIN beramah mesra bersama petugas yang diraikan pada Majlis Apresiasi Jelajah Ehsan Rakyat di Wisma PKPS, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 9:28 PM