TENGKU Amir Shah (dua kiri) diiringi Amirudin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif PKPS, Dr Mohamad Khairil (tiga kiri) berkenan menyempurnakan pelancaran majlis pelancaran jenama Ehsan oleh PKPS di Selangor International Exhibition 2021 (SIE) di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). FOTO Aswadi Alias
TENGKU Amir Shah (dua kiri) diiringi Amirudin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif PKPS, Dr Mohamad Khairil (tiga kiri) berkenan menyempurnakan pelancaran majlis pelancaran jenama Ehsan oleh PKPS di Selangor International Exhibition 2021 (SIE) di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). FOTO Aswadi Alias
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyasarkan sekurangnya-kurangnya RM23 juta nilai jualan selepas setahun produk pertanian jenama Ehsan dilancarkan di pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, produk berasaskan makanan itu akan berada di pasar raya terkemuka, premis jualan PKPS, dalam talian, pasar borong serta bekerjasama dengan platform e-dagang mulai Januari tahun hadapan.

Katanya, pelancaran produk jenama Ehsan itu sebagai inisiatif PKPS menembusi industri runcit tempatan dengan membantu memasarkan produk pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk yang terjejas akibat Covid-19.

"Ini juga salah satu inisiatif kita untuk penjenamaan dan merombak PKS berbanding tertumpu kepada pertanian atau industri seperti kelapa sawit kepada industri hiliran.

"Buat masa ini kita mempunyai 45 PKS dan jumlah itu akan meningkat kepada 150 orang yang akan menyertai projek jenama Ehsan ini.

"Sebagai permulaan, kita memasarkan 12 produk termasuk beras, minyak masak, gula dan ayam segar yang dikeluarkan dari ladang kita sendiri serta kita sasarkan boleh pasarkan 50 produk.

"Selain itu, sasaran kita sekurang-kurangnya RM23 juta nilai jualan pada tahun pertama dan RM85 juta tiga hingga empat tahun selepas produk Ehsan berada di pasaran," katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Produk Pertanian Jenama Ehsan di Pavillion Pameran PKPS sempena Selangor International Exhibition 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

TENGKU Amir Shah (tengah) diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin (tiga kiri) berkenan menyempurnakan pelancaran majlis pelancaran jenama Ehsan. FOTO Aswadi Alias
TENGKU Amir Shah (tengah) diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin (tiga kiri) berkenan menyempurnakan pelancaran majlis pelancaran jenama Ehsan. FOTO Aswadi Alias

Majlis berkenaan disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari.

Menerusi projek Jenama Ehsan itu, Dr Mohamad Khairil berkata, PKPS akan cuba mengurangkan peranan orang tengah bagi memberi keuntungan lebih kepada pengusaha produk pertanian itu.

"Isu pekebun dan pesawah ialah mereka boleh mengeluarkan hasil tetapi isu timbul dari segi pemasaran kerana itu kita membantu memasarkan produk sedia ada di Selangor sekali gus cuba mengurangkan peranan orang tengah.

"Buat masa ini kita sasarkan di Selangor berdasarkan Inisiatif Menteri Besar iaitu inisiatif jaminan makanan Selangor, malah kita dalam proses bekerjasama dengan pihak ketiga iaitu syarikat berkemampuan untuk memasuki ke pasaran peringkat persekutuan.

"Paling penting, apabila kita dapat masuk industri secara komersial, hasil diperoleh akan diperuntukkan iaitu RM2 hingga RM3 juta kepada rakyat menerusi program Agro Ehsan serta Bantu Ehsan untuk membantu mereka yang terjejas Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 3:48 PM