Alias Abd Rani


Muar: Calon Perikatan Nasional (PN), Dr Mohd Mazri Yahya berpuas hati dengan proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang disifatkannya berjalan lancar setakat ini.

Dr Mohd Mazri yang membuat lawatan di beberapa pusat mengundi sambil ditemani Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin berkata, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan ketibaan seorang pengundi setiap minit.

Katanya, ini menunjukkan perkembangan positif dari kalangan pengundi di DUN Simpang Jeram dalam menunaikan tanggungjawab masing-masing.

"Alhamdulillah saya juga dimaklumkan sejak pusat mengundi dibuka pada 8 pagi, makin ramai pengundi keluar. Di Sekolah Kebangsaan Seri Bukit Batu, terdapat hampir 1,700 pengundi dan 100 hingga 100 hingga 200 orang telah mengundi sehingga jam 9 pagi.

"Jadi kita harap pengundi di seluruh Simpang Jeram ini mampu mencatat peratusan keluar mengundi lebih 70 peratus seperti mana ketika PRN (Pilihan Raya Negeri) tahun lalu. Kalau dapat 80 peratus ke atas lagi baik," katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, Dr Mohd Mazri menyeru semua pengundi keluar beramai-ramai untuk menunaikan amalan demokrasi ini.

"Sebaik-baiknya keluar awal kerana bimbang hujan di sebelah petang. Kita harap sasaran untuk 70 peratus dan ke atas pengundi keluar mengundi tercapai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 12:05 PM