SIDANG media Datuk Seri Tajuddin mengenai pemecatan beliau daripada MKT UMNO di sini. FOTO Eizairi Shamsudin
SIDANG media Datuk Seri Tajuddin mengenai pemecatan beliau daripada MKT UMNO di sini. FOTO Eizairi Shamsudin
Amir Abd Hamid


Petaling Jaya: "Memang wujud akuan bersumpah (SD) daripada ahli Parlimen Umno untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri," dedah bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Dalam sidang media di Hotel Eastin, di sini, hari ini, Tajuddin berkata dia adalah saksi hidup yang pada awalnya menolak cadangan pucuk pimpinan parti itu diketuai Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Jajaran baru... saya saksi hidup, tak usah nafi memang ada SD ditandatangan hendak sokong Anwar jadi perdana menteri, dan ada surat dihantar pada istana," katanya.

Ahli Parlimen Pasir Salak yang baru-baru ini digugurkan daripada ahli MKT Umno itu berkata, laungan 'No DAP, No Anwar,No PKR' oleh Presiden Umno adalah sandiwara dan pembohongan semata-mata.

"Tak usah nafilah memang ada SD ditandatangan nak sokong Anwar sebagai perdana menteri.

"Surat ditulis kepada Istana memang ada. Saya pun digesa-gesa. Saya kata taknak tetapi akhirnya dah sampai nak masam muka, saya tandatangan jugalah.

"Macam mana kata tak ada? Saya saksi hidup. No DAP, No Anwar, No PKR semua itu bohong....yang tak tahulah yang kasihan...kasihan ahli-ahli Umno di bawah," katanya.

Beliau berkata, merasa kasihan kepada ahli Umno yang tidak mengetahui pembohongan itu, hanya mengikuti kerana menghormati Presiden.

Menurutnya, ahli Umno tidak boleh menentang dan terpaksa mengikut presidennya disifatkan sebagai satu penganiayaan.

Katanya, desakan untuk tandatangan SD untuk mengangkat Anwar menjadi perdana menteri dilakukan di Hotel Tamu, Kuala Lumpur.

"Saya tidak ada isu personal (peribadi) dengan dia (Zahid). Saya hormat pada dia. Kadang-kadang saya cium tangan dia pasal dia presiden.

"Ada orang kata mengampu. Bukan mengampu, tetapi hormat (dan) tak bermakna saya mesti iakan (mengiyakan) ikut sahaja," katanya.

Mengenai desakan Zahid supaya diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), katanya, ia adalah dakwanya kerana Zahid yang mahukan jawatan perdana menteri.

"Selepas Umno dapat semula jawatan perdana menteri, tak puas hati lagi? Sebab dia yang nak jadi. Zahid itu saya boleh kata sini, dia tak puas hati pasal dia tak dapat jawatan itu...teruk. Bukannya untuk parti.

"Kalau berkuasa boleh la settle (selesaikan) kes-kes (kes mahkamah membabitkan Zahid) itu ye tak?," katanya.

Menurutnya, cadangan meletakkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai 'poster boy' kekal sebagai Perdana Menteri pada PRU-15 adalah umpan supaya Ismail membubarkan segera Parlimen dan Zahid mempunyai peluang untuk jawatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 6:24 PM