SAIFUDDIN Nasution ketika menyampaikan ceramah kelompok di Taman Anggerik, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SAIFUDDIN Nasution ketika menyampaikan ceramah kelompok di Taman Anggerik, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Tindakan Jabatan Peguam Negara yang tidak meneruskan pendakwaan terhadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tiada kaitan dengan kuasa eksekutif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memula, menerus atau menghentikan pendakwaan menerusi Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR, menolak persepsi bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bertanggungjawab atas tindakan dilakukan Peguam Negara itu.

"Sebab itu saya menolak dan menangkis sebarang andaian bahawa tindakan apa pun yang dilakukan oleh Peguam Negara, semuanya (tanggungjawab) perlu diletakkan pada bahu Perdana Menteri.

"Seolah-olah Perdana Menteri tak ada kerja lain," katanya pada sidang media selepas Ceramah Kelompok PH di Taman Anggerik, di sini, malam ini.

Hari ini, beberapa pemimpin pembangkang termasuk Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan mendakwa tindakan Peguam Negara menggunakan kuasanya mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan bagi menarik balik 47 pertuduhan jenayah terhadap Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu, adalah sesuatu yang tidak bermoral.

Muhyiddin dilaporkan berkata, tindakan itu amatlah tidak munasabah dan mempersoalkan sama ada bukti-bukti yang dikemukakan oleh pendakwa raya di mahkamah tidak boleh dipakai atau ada arahan daripada pihak atasan bahawa kes ini mesti digugurkan walau dengan apa cara sekali pun.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dilaporkan dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid

Diminta mengulas gesaan beberapa pihak termasuk Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berhubung kuasa Jabatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu dipisahkan, Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, berkata perkara itu di bawah kuasa Yang Dipertuan Agong.

"Saya baca kenyataan Wong itu. Buat masa sekarang pelantikan Peguam Negara itu adalah perkenan Yang Dipertuan Agong di atas usul Ketua Eksekutif.

"Kita (kerajaan PH) mewarisi sistem yang sudah berjalan. Sekiranya terdapat apa-apa usul untuk mengubah keadaan sekarang, caranya adalah seperti yang dicadangkan oleh Wong.

"Kita akan tengok daripada situ. Saya tiada sebarang komen lebih daripada itu.

"Kuasa yang ada di bawah Peguam Negara itu adalah mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan sama ada untuk mendakwa atau tidak, meneruskan pendakwaan atau tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 10:24 PM