KUALA LUMPUR 15 OGOS 2023. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, ketika Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KUALA LUMPUR 15 OGOS 2023. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, ketika Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil dan Minda Anak Ranggong


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah melengkapkan siasatan berhubung ucapan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, kaum, diraja) dengan mempertikai

kuasa Lembaga Pengampunan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan terbabit sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara hari ini untuk tindakan selanjutnya.

"(Kertas) siasatan ke atas Abdul Hadi sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pagi tadi," katanya ketika ditemui di majlis penutup 4th National Forensic Symposium For Law Enforcement 2023 di Maktab PDRM, Cheras, di sini, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Abdul Hadi Awang selesai memberikan keterangan kepada pihak polis di Pejabat Pas Pusat di Jalan Raja Laut, di sini, pada 12.30 tengah hari pada 4 September.

Keterangan berkenaan diambil bagi membantu siasatan berhubung ucapan Abdul Hadi yang dipercayai mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar, minggu lalu.

Susulan itu, PDRM mengesahkan selesai merakam keterangan Abdul Hadi di pejabatnya di Jalan Raja Laut di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebanyak 24 soalan dikemukakan kepada Abdul Hadi namun beliau hanya menjawab lima daripada soalan itu manakala baki soalan akan dijawab di mahkamah.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Razarudin mengesahkan sudah menyerahkan kertas siasatan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa menghina institusi diraja kepada Jabatan Peguam Negara, Selasa lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 1:24 PM