ENAM beranak yang disahkan maut. FOTO Ihsan Pembaca
ENAM beranak yang disahkan maut. FOTO Ihsan Pembaca
BERNAMA

Johor Bahru: Kerajaan Johor akan memastikan remaja lelaki yang terselamat dalam nahas meragut nyawa enam sekeluarga di Jalan Segamat-Kuantan, Segamat Jumaat lalu mendapat rawatan yang terbaik di Hospital Segamat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon berkata Abdullah Amir Ruddin yang mengalami kecederaan teruk, ketika ini masih ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan berada dalam keadaan stabil.

"Abdullah masih dalam pemantauan pasukan perubatan dan ditidurkan dalam ICU, kita lihat keadaannya juga adalah stabil, sama seperti sebelum ini.

"Kerajaan negeri akan memberi bantuan dari segala segi termasuk kos perubatan. Kita juga akan memastikan beliau mendapat rawatan yang terbaik," katanya ketika diminta mengulas mengenai keadaan remaja terbabit.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Peralatan Rondaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Bantuan Rahmah di Zon Pulai, di Taman Bukit Kempas, di sini malam tadi.

Ling turut menyeru kepada orang ramai, khususnya saudara dan komuniti untuk terus memberikan sokongan positif kepada abang sulung remaja terbabit, iaitu Abdul Rahman Amir Ruddin,19.

"Sebagai seorang abang, pastinya untuk berhadapan dengan cabaran seperti ini adalah tidak mudah. Jadi, saya menyeru sokongan positif terutama dari saudara dan komuniti terdekat, kerana beliau sangat-sangat memerlukannya," katanya.

Kemalangan pada 1 September lalu di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan mengorbankan bapa dan ibu mangsa iaitu Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhammad, 43.

Turut maut empat lagi adik-beradik mangsa, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, setelah kereta Perodua Alza ang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 11:01 AM