LAPORAN Harian Metro hari ini
LAPORAN Harian Metro hari ini
Alias Abd Rani


Muar: Seorang mangsa yang terselamat dalam kemalangan yang meragut enam sekeluarga di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan petang semalam masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.

Difahamkan, Abdullah Amir Ruddin, 15, pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Al-Muhammadi di Kundang Ulu, Bukit Gambir baru selesai menjalani pembedahan hari ini.

Bagaimanapun, pasukan perubatan Hospital Segamat mengambil keputusan menidurkan Abdullah sejurus selepas pembedahan itu.

Bernama melaporkan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon memaklumkan mangsa kini ditidurkan.

"Anak remaja ini masih lagi di ICU Hospital Segamat. Mangsa mengalami kecederaan yang teruk dan ditidurkan," katanya.

Remaja itu satu-satunya yang terselamat dalam kemalangan meragut nyawa ibu, Noorahimah Noor Muhamad, 43, bapanya, Amir Ruddin Ismail, 46, serta empat adik beradiknya Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Terdahulu, jenazah enam sekeluarga selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ubuddiah Parit Limbong, di sini petang tadi.

Berita berkaitan:

Arwah adik mahu gambar beramai-ramai, buat kenangan jika pergi dahulu

'Arwah seorang imam, kerap nasihat soal kematian, tidak leka hal duniawi'

Nahas 5 kenderaan: Polis sahkan 6 beranak maut, identiti dikenal pasti

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 10:58 PM