Arwah bapa Abdur Rahman, Amir Ruddin menyambut hari lahir semalam, bersama ibunya yang terkorban. FOTO Nora Hila
Arwah bapa Abdur Rahman, Amir Ruddin menyambut hari lahir semalam, bersama ibunya yang terkorban. FOTO Nora Hila
Alias Abd Rani


Muar: "Selamat ulang tahun Abi," demikian ucapan hari lahir daripada Abdur Rahman Amir Ruddin, 19, anak sulung kepada Allahyarham Amir Ruddin Ismail, 46, mangsa kemalangan maut enam sekeluarga di Segamat, kira-kira dua bulan lalu, yang menyambut hari lahirnya, semalam.

Abdur Rahman sebelum itu dijemput untuk memperdengarkan bacaan al-Quran sempena program Maulid Akbar Tanwiriah Berselawat di Madrasah At-Tanwiriah di Parit Jawa, di sini, malam tadi.

Dia yang turut ditemani adiknya, Abdullah, 15, menyebabkan suasana bertukar syahdu seketika ketika menyampaikan ucapan berkenaan.

Sebelum memperdengarkan bacaan surah Hud di hadapan ribuan pengunjung, Abdur Rahman memberitahu bahawa semalam adalah genap usia 46 tahun arwah bapanya.

"Alhamdulillah, sebelum saya memulakan bacaan ayat suci al-Quran, marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah ayah saya, Haji Amir Ruddin (Ismail) kerana hari ini (semalam) ulang tahun yang ke-46.

"...dan kita sedekahkan juga Al-Fatihah kepada keluarga saya, semoga roh mereka dicucuri Allah SWT dan dirahmati-Nya," ucapnya yang kelihatan cuba menahan sebak.

Dalam pada itu, Abdur Rahman melalui perkongsian di TikTok sempena kelahiran arwah Abinya memberitahu, dia berjanji tidak akan bergaduh dengan Abdullah.

"Semoga Abi tenang di sana ye, Aman (Abdur Rahman) dengan Duo (Abdullah) tak gaduh dah.

"Ya Allah, ampunkanlah dosa dan rahmatilah mereka. Lapangkan kubur serta tempatkan mereka dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh," tulisnya.

Bapa kepada dua beradik yatim piatu itu, antara enam ahli keluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan pada 1 September lalu.

Turut maut dalam tragedi menghayat hati itu ialah ibu mereka, Norahimah Noor Muhamad, 43, serta empat adik beradiknya, Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah,13; Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Mereka sekeluarga dilaporkan dalam perjalanan dari Kluang ke Segamat untuk menghantar Norahimah yang mengajar di Sekolah Agama Kemedak.

Dalam kemalangan itu, Abdullah, satu-satunya mangsa yang terselamat dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat selama lebih sebulan akibat cedera parah.

Abdullah yang juga anak ketiga pasangan itu, kini semakin pulih selepas menjalani beberapa rawatan termasuk fisioterapi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 12:40 PM