TANGGUNGJAWAB berat kini terletak pada calon terpilih untuk  berkhidmat kepada rakyat. FOTO BERNAMA
TANGGUNGJAWAB berat kini terletak pada calon terpilih untuk berkhidmat kepada rakyat. FOTO BERNAMA
Mohd Zaini Othman

Segala teka-teki gabungan mana berjaya membentuk kerajaan nSegeri melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu terjawab malam kelmarin. Gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dipilih pengundi untuk membentuk kerajaan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang manakala Perikatan Nasional kekal menerajui Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 mencipta pelbagai kejutan dan melakar banyak sejarah baharu dalam politik negara, justeru tidak hairanlah PRN di enam negeri ini turut terkena tempiasnya. Walaupun keputusan PRN kali ini mengekalkan status quo pentadbiran sebelumnya, tetapi ia tetap mencipta kejutan dan kisah menarik di beberapa kerusi untuk dikupas penganalisis politik kelak.

Sememangnya dalam tempoh di antara tutup buku PRU-15 sehingga selesainya Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri ini Sabtu lalu, boleh dikatakan saban hari kita dihidangkan cerita politik yang tidak molek untuk kestabilan negara dan keharmonian masyarakat.

Seperti kata teman penulis: "Walaupun PRN ini hanya melibatkan enam negeri sahaja, tetapi seluruh negara terasa bahangnya". Pokok pangkalnya semua pihak perlu akur kepada keputusan dibuat pengundi atas semangat menjunjung semangat demokrasi. Sekalung tahniah kita rakamkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berusaha keras memastikan proses memilih wakil rakyat bagi 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) berjalan dengan lancar, teratur dan selamat.

Segala analisis dan telahan pelbagai pihak sebelum PRN berlangsung terjawab dengan pengundi di Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu membuat pilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan parti politik yang mereka mahukan untuk menakhoda negeri. Sebagaimana proses demokrasi di dalam PRU-15 lalu diraikan dan dihormati, pastinya PRN ini menuntut kepada penerimaan sama oleh semua pihak. Ini kerana pihak yang menang secara hakikatnya rakyat sendiri kerana mereka berjaya memperlihatkan kematangan masing-masing dalam membuat pilihan.

Adat masuk bertanding pilihan raya, ada calon kalah terduduk, ada calon menang bergaya. Ada penyandang yang 'kebal' mengekalkan kerusi, ada juga penyandang yang kini bergelar 'pesara'. Tidak kurang menariknya juga melihat mereka yang kali pertama masuk ke gelanggang politik dipilih menjadi Yang Berhormat. Walau apa reaksi diterima, yang pastinya calon yang menang secara rasmi sudah berstatus Yang Berhormat.

Di bahu mereka kini terbeban tanggungjawab berat mengabdikan diri berkhidmat kepada rakyat dan negeri. Wakil rakyat perlu segera membalas mandat dan menghargai kepercayaan yang diberikan mereka dengan segera turun ke padang.

Pada masa sama, penulis berpandangan ia sewajarnya menjadi noktah dan titik mula gencatan senjata segala 'perang' politik tidak berkesudahan semenjak pasca PRU-15 lalu. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu lalu dengan rendah diri mengajak rakyat Malaysia kembali bersilaturahim berikutan kempen pilihan raya negeri (PRN) sudah selesai.

"Musim kempen sudah selesai, jadi kembalilah bersilaturrahim," kata Perdana Menteri selepas menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi kerusi Dun Permatang Pasir di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Seri Penanti.

Seruan Perdana Menteri itu tepat pada masanya kerana penulis melihat cabaran utama selepas selesainya PRN kali ini untuk semua pihak meninggalkan segala perseteruan yang wujud sebelum ini untuk kembali bermuafakat demi kepentingan dan kebaikan rakyat, negeri serta negara secara matang dan ikhlas. Dengan mengambil semangat biduk berlalu, kiambang bertaut, adalah sesuatu yang merugikan jika perseteruan politik menjadi tembok penghalang kepada agenda kemakmuran rakyat.

Hakikatnya, tidak perlu kita berpolitik di sepanjang waktu sehinggakan sekecil-kecil perkara hendak dijadikan modal politik yang mencetus perbalahan. Memadailah rancak bertikam lidah hanyalah sewaktu tempoh berkempen sahaja.

Sesungguhnya Islam menganjurkan politik yang memandu insan melakukan kebaikan dan menahan diri melakukan keburukan, menegaskan elemen integriti, kejujuran serta amanah yang wajib dijunjung dalam budaya berpolitik. Daripada perspektif Islam juga, politik tidak terbatas kepada urusan pemerintahan semata-mata, tetapi berperanan penting dalam urusan pendidikan, kerohanian, membangkitkan kesedaran, menyemai kefahaman insan, serta penyebaran nilai dan prinsip. Selamat bertugas Yang Berhormat!

Penulis Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis). Penulisan ini pandangan peribadi penulis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 9:06 AM