SEBAHAGIAN pengikut ‘The Ahmadi Religion of Light and Peace’ yang berkumpul di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu kota. FOTO tular
SEBAHAGIAN pengikut ‘The Ahmadi Religion of Light and Peace’ yang berkumpul di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu kota. FOTO tular
Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Pengasas ajaran The Ahmadi Religion of Light and Peace warga United Kingdom (UK) yang dipercayai dinaikkan pangkat sebagai Imam Mahdi menjadi pencetus keberanian pengikutnya di negara ini menonjolkan diri mereka.

Menurut sumber keselamatan, ketua ajaran iaitu Abdullah Hashem yang juga warga UK dinaikkan pangkat menjadi Imam Mahdi pada 14 April lalu.

"Bagi meraikan kegembiraan dengan kemunculan Imam Mahdi itu, pengikut diarah menyebarkan ajaran berkenaan secara terbuka kepada umum.

"Pengikut juga diseru mengadakan program secara terbuka di KLCC, Kuala Lumpur, pada 19 April lalu," katanya.

Harian Metro sebelum ini mendedahkan percaya kewujudan 12 Imam Mahdi menjadi antara pegangan asas ajaran The Ahmadi Religion of Light and Peace yang jelas menyeleweng daripada Islam.

Mereka juga percaya lokasi sebenar Kaabah terletak di Petra, Jordan dan bukan di Makkah, Arab Saudi.

Pergerakan itu menamakan seorang lelaki dipercayai rakyat Malaysia yang diberikan taraf bishop sebagai ketua dan bertanggungjawab menyebarkan dakyah serta menguruskan pengikut mereka di negara ini.

Agama itu juga mempunyai pengikut dan bishop yang dilantik di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat, Afghanistan, Thailand, United Kingdom dan Turkiye.

Mengulas lanjut, sumber keselamatan berkata, ahli kumpulan ajaran itu sebelum ini hanya bergerak secara dalam talian dengan aktif berkomunikasi di Telegram dan kini didakwa sudah mempunyai kira-kira 300 pengikut.

Beliau berkata, pengikut ajaran terbabit merujuk ajaran itu melalui buku yang dihasilkan oleh ketuanya yang bertajuk 'The Goal Of The Wise, The Gospel Of The Riser Of The Family of Mohammed'.

Katanya, pengisian buku itu meliputi terjemahan berkaitan Imam Mahdi daripada al-Quran, kitab Bible dan fahaman Syiah.

"Ajaran itu ditaksir ekstrem dan menyeleweng kerana mendakwa ketua mereka sebagai Imam Mahdi, menolak ulamak dan agamawan seluruh dunia serta mendakwa setiap agama termasuk Islam sebagai sesat.

"Malah, mereka juga mendakwa lokasi Kaabah sebenar di Jordan, meyakini al-Quran kini bukan yang sebenar, solat dan pemakaian tudung tidak wajib, arak halal diminum serta bulan Ramadan pada Disember," katanya.

Beliau berkata, lebih menyeleweng apabila mereka mempercayai terdapat 12 imam selepas pemerintahan khalifah dan 12 al-Mahdi selepas imam selain mendakwa manusia kini berada di zaman al-Mahdi kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 2:48 PM