SEBAHAGIAN pengikut ‘The Ahmadi Religion of Light and Peace’ yang berkumpul di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu kota, tahun lalu.
SEBAHAGIAN pengikut ‘The Ahmadi Religion of Light and Peace’ yang berkumpul di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu kota, tahun lalu.
Samadi Ahmad

Putrajaya: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengingatkan umat Islam di negara ini supaya tidak terpengaruh dengan ajaran sesat, 'The Ahmadi, Religion of Light and Peace' (Ahmadi - Agama Keamanan dan Cahaya) yang mendakwa kononnya Imam al-Mahdi menjelma bersama-sama mereka.

Yadim melalui Majlis Amal Islami Malaysia (Maim) akan menggerakkan usaha mengadakan program pendidikan bagi menangani ajaran sesat kumpulan itu bagi memastikan ia tidak merebak dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Yang Dipertua Yadim Prof Madya Dr Adi Anuar Azmin berkata, usaha itu akan diadakan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam lain bagi memberi pendidikan berkenaan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk memastikan akidah umat Islam di negara ini tidak tergugat.

"Yadim memandang serius penularan video ajaran sesat kumpulan itu yang tular di media sosial kerana dibimbangi akan mempengaruhi generasi muda," katanya melalui satu kenyataan.

Sebelum ini, kumpulan ajaran sesat The Ahmadi mendakwa Kaabah tidak lagi berada di Makkah, sebaliknya kini di Petra, Jorda dan mendakwa kemunculan Imam al-Mahdi sebagai jelmaan semula imam ke-12 Syiah serta Nabi Muhammad SAW.

Adi Anuar berkata, usaha Yadim bersama Maim ini mampu membantu kerajaan dan agensi sedia ada dalam menangkis ajaran sesat ini terus menular dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 12:31 PM