SEBAHAGIAN pengikut ‘The Ahmadi Religion of Light and Peace’ yang berkumpul di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu kota. FOTO  NSTP
SEBAHAGIAN pengikut ‘The Ahmadi Religion of Light and Peace’ yang berkumpul di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu kota. FOTO NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Bishop ataupun ketua ajaran The Ahmadi Religion of Light and Peace bagi Malaysia sudah melarikan diri ke luar negara untuk mengelak ditahan pihak berkuasa.

Menurut sumber keselamatan, lelaki itu melarikan diri sebelum insiden beberapa individu mengaku sebagai pengikut ajaran terbabit berkumpul di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, Sabtu lalu, untuk mempertahankan hak orang ramai mengamalkan gaya hidup lesbian, gay, bisekseksual dan transgender (LGBT).

"Lelaki itu diberikan taraf bishop sebagai ketua dan bertanggungjawab menyebarkan dakyah serta menguruskan pengikut mereka di negara ini.

"Bagaimanapun siasatan mendapati, dia sudah melarikan diri ke luar negara sebelum insiden itu lagi," katanya kepada Harian Metro.

Sumber berkata, ajaran ini sudah lama namun disebarkan melalui media sosial dan tiba-tiba aktif secara fizikal.

Harian Metro semalam mendedahkan percaya kewujudan 12 Imam Mahdi, itu antara pegangan asas ajaran The Ahmadi Religion of Light and Peace yang jelas menyeleweng daripada agama Islam.

Mereka juga percaya lokasi sebenar Kaabah terletak di Petra, Jordan dan bukan di Makkah, Arab Saudi.

Pergerakan itu menamakan seorang lelaki dipercayai rakyat Malaysia yang diberikan taraf bishop sebagai ketua dan bertanggungjawab menyebarkan dakyah serta menguruskan pengikut mereka di negara ini.

Agama itu juga mempunyai pengikut dan bishop yang dilantik di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat, Afghanistan, Thailand, United Kingdom dan Turkiye.

Berdasarkan tinjauan di laman sesawang mereka, agama berkenaan diasaskan individu bernama Ahmad Ismail atau dikenali oleh pengikutnya sebagai Imam Ahmad Al-Hassan berasal dari Basra, Iraq.

Ahmad Ismail, 55, mengaku dirinya Imam Mahdi pertama daripada 12 imam yang kononnya dijanjikan untuk memimpin panji hitam dari timur dan mula menyebarkan ajaran itu sejak 2003.

Bagi meyakinkan pengikutnya, Ahmad Ismail mendakwa dia sudah meramalkan terlebih dahulu beberapa peristiwa besar termasuk penyebaran wabak Covid-19 dan peperangan Ukraine-Russia.

Kumpulan itu mula mendapat perhatian di Malaysia apabila beberapa individu mengaku sebagai pengikut ajaran terbabit berkumpul di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, Sabtu lalu, untuk mempertahankan hak orang ramai mengamalkan gaya hidup LGBT.

Susulan itu, lapan lelaki dipercayai pengikut ajaran terbabit ditahan sebelum dilepaskan dengan jaminan polis kerana berhimpun sambil melaungkan kritikan terhadap mahkamah syariah dan polisi kerajaan berhubung isu LGBT.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 12:59 PM