GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang jurutera projek yang menconteng tulisan 'terrorist' di tembok bangunan Kedutaan Amerika Syarikat kerana tidak berpuas hati dengan konflik yang melanda Palestin didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Ahmad Ridzwan Al Amin Azman Shah, 23, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat iaitu merosakkan harta kepunyaan Kedutaan Besar Amerika Syarikat sehingga menyebabkan kerugian RM200 iaitu menconteng tulisan 'terrorist' menggunakan penyembur cat warna merah.

Kesalahan itu dilakukan di tembok luar bahagian utara Kedutaan Amerika Syarikat, menghadap Jalan Tun Razak, antara jam 5.30 pagi hingga 5.45 pagi, 28 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab merayu supaya anak guamnya dikenakan hukuman denda pada kadar rendah tanpa pemenjaraan.

Menurutnya, Ahmad Ridzwan Al Amin yang masih bujang, perlu menanggung ibunya yang juga seorang ibu tunggal bersama seorang nenek.

"Anak guam melakukan kesalahan itu kerana tidak berpuas hati dengan kejadian yang melanda Palestine.

"Dia cuma mahu menyampaikan pandangan peribadinya kepada pihak kedutaan, dan bukan mahu menyebabkan kerugian kepada mana-mana pihak," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Vivien Yeap Jie Xi memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 3:30 PM