Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis menahan dua lelaki disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah heroin base dan pil kuda bernilai kira-kira RM1.4 juta yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Ketua Polis negeri Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam operasi 11 pagi Jumaat lalu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah menahan kereta Toyota Corolla di hadapan sebuah rumah di Jalan Kampung Changhai, Changlun.

Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun itu menemui satu beg galas mengandungi 40 ketulan mampat dibaluti pita pelekat lut sinar serta kertas minyak coklat di but kereta terbabit.

"Pemeriksaan lanjut ke atas ketulan mampat berkenaan mendapati ia mengandungi serbuk putih disyaki dadah heroin base seberat lebih 15 kilogram (kg).

"Turut ditemui satu peket plastik mengandungi 110 biji pil bertulis 'WY' disyaki dadah jenis pil kuda seberat kira-kira 12 gram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Mohd Roze Shaari, Ketua JSJN Kedah Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin dan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan.

Kamarul Zaman Mamat (tengah) menunjukkan dadah jenis heroin base dan pil kuda bernilai RM1.4 juta yang dirampas hasil tangkapan dua lelaki tempatan di Changlun, Jumaat lalu. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Kamarul Zaman Mamat (tengah) menunjukkan dadah jenis heroin base dan pil kuda bernilai RM1.4 juta yang dirampas hasil tangkapan dua lelaki tempatan di Changlun, Jumaat lalu. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

Kamarul Zaman berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya kemudian menahan seorang lagi lelaki berusia 37 tahun di sebuah rumah di Kampung Padang, Changlun, pada 2 petang hari sama.

Katanya, hasil siasatan mendapati dadah heroin base dan pil kuda itu dipercayai diperoleh dari negara jiran dengan polis masih menyiasat bagaimana sindiket berkenaan dapat membawa semua bahan berkenaan ke negara ini.

"Kita masih siasat sama ada dadah berkenaan dibawa masuk melalui jalan sah atau laluan tikus di kawasan sempadan negara ini.

"Sekiranya dadah heroin base dan pil kuda itu terlepas ke pasaran, ia boleh diguna sehingga 900,000 penagih dadah," katanya.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah methampetamine.

"Kami turut menyita kenderaan Mitsubishi Storm bernilai RM21,500, seutas rantai emas bernilai RM16,380, seutas gelang bernilai RM4,239 dan wang tunai berjumlah RM5,030.

"Keseluruhan jumlah barangan yang disita bernilai RM47,149 manakala jumlah keseluruhan dadah dan barang sitaan bernilai lebih RM1.4 juta," katanya.

Semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 2:35 PM