SUPERINTENDAN Rodzi (kanan) menunjukkan ruang kosong bawah tempat duduk penumpang yang dinaiki pasangan suami isteri yang membawa 10 kg ketulan mampat dadah. FOTO Zuliaty Zulkifli
SUPERINTENDAN Rodzi (kanan) menunjukkan ruang kosong bawah tempat duduk penumpang yang dinaiki pasangan suami isteri yang membawa 10 kg ketulan mampat dadah. FOTO Zuliaty Zulkifli
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Cubaan suami isteri menyorok 10 kilogram (kg) ganja mampat di ruang kosong bawah tempat duduk penumpang pacuan empat roda gagal apabila mereka dicekup sebaik memasuki negara ini, Ahad lalu.

Difahamkan, suspek wanita berusia 35 tahun dipercayai sarat hamil sembilan bulan anak sulung yang dijangka dilahirkan pada 21 Januari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, wanita itu dan suaminya berusia 34 tahun ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada 11.50 malam.

Beliau berkata, pasangan warga tempatan itu ditahan selepas mendapati mereka dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan dalam Toyota Hilux bernombor pendaftaran Thailand itu mendapati terdapat ruang kosong bawah tempat duduk penumpang belakang.

"Pemeriksaan lanjut menemui 10 balutan plastik balutan plastik lutsinar yang mengandungi dadah jenis ganja seberat 10 kg.

"Selain itu, kenderaan terbabit juga didapati diubah suai tangkinya seperti yang biasa digunakan oleh penyeludup petrol," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini, hari ini.

Rodzi berkata, pihaknya percaya dadah itu dibawa masuk dari negara jiran untuk dipasarkan di kawasan utara Semenanjung.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai lapan rekod jenayah berkaitan dadah dan dua kesalahan jenayah, manakala isterinya mempunyai tiga rekod kesalahan dadah.

"Saringan ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis ganja," katanya.

Rodzi berkata, pasangan berasal dari Perlis itu tidak bekerja dan pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada mereka diupah untuk membawa dadah itu atau sebaliknya.

"Nilai dadah yang dirampas dianggarkan RM32,000 dan kenderaan itu bukan milik mereka, sebaliknya dimiliki individu lain di Thailand.

"Pasangan ini direman sehingga 14 Januari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 3:57 PM