Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis menahan empat lelaki dan merampas keseluruhan ganja mampat seberat 77.71 kilogram (kg) bernilai RM194,275 dalam serbuan berasingan Rabu lalu.

Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, dalam serbuan pertama Rabu lalu, dua suspek berusia 54 dan 60 tahun ditahan di stesen minyak di Jalan Kodiang kira-kira jam 6.40 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut dalam kenderaan jenis Toyota Previa itu menemukan ganja di bahagian kerusi penumpang tengah dan but kereta.

"Hasil pemeriksaan menemukan ganja sebenar 25,496 gram di but manakala 50,205 gram disembunyikan kerusi penumpang tengah," katanya.

"Siasatan juga mendapati kedua-dua suspek yang bekerja sebagai pemandu lori dan peniaga kedai makan itu ditahan manakala kesemua ganja itu dirampas," katanya pada sidang media di Bilik Media IPK Kedah, hari ini.

Wan Hassan berkata, susulan itu, pihaknya melakukan pemeriksaan pada kereta jenis Mitsubishi Triton yang diparkir di bahu jalan tidak jauh dari stesen minyak berkenaan.

SAZALI (tengah) menunjukkan gambar barangan yang disita ketika sidang media di Kompleks Penguatkuasaan JKDM Sungai Pulai.  FOTO Izz Laily Hussein
SAZALI (tengah) menunjukkan gambar barangan yang disita ketika sidang media di Kompleks Penguatkuasaan JKDM Sungai Pulai. FOTO Izz Laily Hussein

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan beg biru berisi ganja dianggarkan seberat 1,982 gram.

Wan Hassan berkata, susulan daripada penahanan dua suspek terbabit, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 27 dan 39 tahun di lokasi berasingan di Kuala Lumpur iaitu di Bangsar dan Sri Hartamas pada hari sama.

Katanya, kedua-duanya yang bekerja sebagai peniaga kedai makan dan penghantar surat itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes itu.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadap mereka mendapati mereka negatif dadah," katanya.

Katanya, dalam serbuan kedua itu, pihaknya turut menyita dua kenderaan, dua jam tangan berjenama, dua motosikal, wang dalam akaun bernilai RM3,333 dan barangan kemas bernilai RM5,603.23.

Tambahnya, jumlah keseluruhan barangan yang disita termasuk kenderaan yang dirampas bernilai RM104,387.

Katanya, semua mereka yang ditahan direman sehingga 18 Januari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menjawab soalan wartawan, katanya pihaknya percaya dadah yang diseludup dari negara jiran itu akan dihantar ke Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 11:33 AM