Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Tidak mustahil bagi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada minggu depan, namun mengakui agak sukar menawan Kelantan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, berdasarkan pemerhatian sepanjang tempoh berkempen, gabungan parti politik itu mempunyai peluang cerah menang sekali gus menyangkal dakwaan Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan akan menang di semua enam negeri pada PRN.

"Saya melihat agak mustahil (PN menang 6-0) kerana saya sudah pergi banyak negeri ketika berkempen ini, saya tidak nampak mereka boleh menang 6-0, silap-silap kita yang menang 6-0 atau menang 5-1 sebab tolak Kelantan, ia negeri 'special' (istimewa).

"Apa yang berlaku di Negeri Sembilan, nampak cenderung kepada Kerajaan Perpaduan dan Selangor serta Pulau Pinang pun cerah kepada Kerajaan Perpaduan.

"Cuma Terengganu dan Kedah, ia 'swing state', kalau ke kiri kalah, kalau ke kanan menang, tapi kalau ikut perkiraan, mereka 'swing' ke kanan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bursa Marketplace Fair 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift dan Ketua Pembangunan Pelabur Bursa Malaysia, Stephanie Tan.

Pada masa sama, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan I berkata, sebarang keputusan PRN nanti tidak akan mengubah kedudukan kerajaan di peringkat Persekutuan yang mempunyai 148 kerusi Parlimen yang kini diterajui BN, PH dan beberapa parti politik lain.

Beliau sekali gus mahu rakyat menolak sentimen dimainkan dalam kempen PRN membabitkan 'market sentiment' yang mendakwa Kerajaan Perpaduan akan jatuh jika PN menang di enam negeri itu.

"Kalau ditakdirkan Kerajaan Perpaduan kalah 6-0, kerajaan pusat masih lagi Kerajaan Perpaduan kerana kita menang 148 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dan kemenangan itu adalah dua pertiga majoriti.

"Tetapi, jika beroleh kemenangan 5-1, Kerajaan Perpaduan ini juga tidak mengubah 148 kerusi majoriti di kerajaan pusat, itu mesej yang ingin saya sampaikan kepada mereka yang membabitkan 'market sentiment'.

"Kenapa Kerajaan Perpaduan tidak jatuh kerana jika hendak buat onar pun, hanya 30 Ahli Parlimen dari BN, kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) mereka sudah nyatakan akan sokong Kerajaan Perpaduan.

"Kalau 146 tolak 30, tinggal 118, kerajaan pusat masih berdiri," jelasnya.

Ahli Parlimen Pontian itu turut menegaskan 30 Ahli Parlimen BN tidak akan berani keluar parti memandangkan sudah menandatangani perjanjian sebelum menjadi calon pada PRU tahun lalu.

"Satu perkara yang orang tidak tahu apabila kami sudah menandatangani satu perjanjian sebelum jadi calon November tahun lalu, jika kami keluar (parti) kami kena bayar seorang RM100 juta.

"Mana ada duit banyak itu, jadi yang 30 orang ini pun takut nak keluar (daripada parti)," katanya.

AHMAD pada sidang media di Bursa Marketplace Fair 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA). FOTO Izz Laily Hussein
AHMAD pada sidang media di Bursa Marketplace Fair 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA). FOTO Izz Laily Hussein

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 3:50 PM