AHAMD Zahid Hamidi ditemui media selepas majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat sempena Sambutan Ulang Tahun Umno ke-77 di Surau Ar-Rahman, WTC Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim.
AHAMD Zahid Hamidi ditemui media selepas majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat sempena Sambutan Ulang Tahun Umno ke-77 di Surau Ar-Rahman, WTC Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meramalkan Perikatan Nasional (PN) akan retak dan berpecah, sambil menyifatkan kerjasama parti-parti dalam gabungan itu, khususnya di antara PAS dan Bersatu sebagai 'kahwin muta'ah'.

"Kita dengar perkahwinan muta'ah oleh kedua-dua pihak (PAS dan Bersatu) pasti dalam bentuk sementara. Kita tunggulah apabila retak menjadi belah," kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden Umno itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-77 di sini malam ini, manakala dalam ucapannya, menegaskan Umno pernah menjadi 'mangsa' ketika bersama PAS dalam Muafakat Nasional (MN).

"Kita sudah cuba atas nama piagam dan Muafakat Nasional, tapi parti itu dengan siapa pun, apabila dia bersekongkol, pasti parti (yang bersama) itu akan ditendang dan diterajang, termasuk kita dulu.

"Saya yakin gabungan parti yang disertai parti itu sekarang ini pun, apabila kocakan mula berlaku, saya fikir tak lama lagi gabungan itu akan pecah dan rakan kongsi politik juga akan ditendang sebagaimana dia tendang kita," kata Timbalan Perdana Menteri.

Mengenai Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang dijadualkan Ahad ini, Ahmad Zahid berkata, satu pertemuan membabitkan 148 Ahli Parlimen kerajaan akan diadakan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Konvensyen akan bermula dari pagi, akan ada pertemuan dalam kalangan Puteri dan Pemuda pelbagai parti. Tengah hari, kami akan pertemukan 148 Ahli Parlimen yang mendokong kerajaan untuk bertemu Perdana Menteri.

"Tentu ada amanat penting yang akan diberikan Perdana Menteri nanti," katanya.

Berhubung rundingan pengagihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), beliau berkata, BN sudah melantik Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetuai rundingan dengan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

"Saya menyerahkan kebijaksanaan perundingan ini kepada Timbalan Presiden Umno merangkap Timbalan Pengerusi BN untuk menentukan bahawa kebijaksanaan itu diterjemah dengan sebaik-baiknya. Kita akan menerima apa saja pandangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 11:15 PM