Fadillah menunjukkan kemahirannya menoreh pokok getah ketika mengadakan lawatan di ladang getah milik Lee Chong Choon sempena program Trek Komoditi Zon Tengah Semenanjung di Kuala Sawah, hari ini. FOTO BERNAMA
Fadillah menunjukkan kemahirannya menoreh pokok getah ketika mengadakan lawatan di ladang getah milik Lee Chong Choon sempena program Trek Komoditi Zon Tengah Semenanjung di Kuala Sawah, hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk menaikkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.70 sekilogram (kg) sekarang, sebagai langkah membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil dan menggalakkan lebih ramai membabitkan diri dalam sektor getah negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata terdapat permintaan di kalangan pekebun kecil terhadap cadangan menaikkan harga lantai getah berkenaan.

"Itu (naik harga lantai getah sekerap) memang ada permintaan, tapi kita sedang mengkaji, harap-harap dalam bajet yang akan datang, kita akan dapat teliti balik.

"Tapi yang lebih penting ialah untuk kita memahami di peringkat akar umbi mengapa orang tidak menoreh.

"Apakah harga yang munasabah untuk menggalakkan mereka menoreh, (memang) permintaan itu banyak ada yang minta RM4, RM3 (kg), tapi kita kena tengok keseluruhan rantaian, supaya akhirnya kita dapat menggalakkan orang untuk menoreh," katanya.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) ditemui media selepas program Trek Komoditi KPK 2023 di Pusat Pengumpulan Getah dan ladang getah, di Kampung Kuala Sawah, Rantau, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM), Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata pihaknya tidak menolak harga getah di pasaran menjadi faktor utama kecenderungan orang ramai untuk menoreh.

Menurut beliau, walaupun usaha diteruskan bagi pengeluaran getah beku, namun KPK amat menggalakkan pekebun kecil menghasilkan susu getah disebabkan pasarannya yang sedia ada.

"Susu getah sememangnya baik di pasaran, malah kita negara terpaksa import susu getah bernilai RM3 bilion setiap tahun bagi menampung permintaan.

"Sebab itu kita hendak lihat bagaimana dapat mengembalikan semula industri getah supaya kita dapat menghasilkan susu getah, maknanya pendekatan kita lebih kepada secara berkelompok dengan membawa industri bersama.

"Penoreh menjadi rakan kongsi dan lakukannya dengan bentuk perniagaan termasuk memperkenalkan kaedah automasi dan sebagainya," katanya.

Melalui pendekatan itu, katanya diharapkan akan dapat menghasilkan tambahan pengeluaran lateks sekali gus dapat menambah pendapatan kepada pekebun kecil.

Fadillah berkata, perkara itu dalam perancangan KPK, malah LGM akan melancarkan satu program pilot iaitu suatu kaedah baharu untuk menghasilkan produktiviti dan peningkatan kepada pendapatan pekebun kecil.

"Ia termasuk program integrasi tanaman, supaya pekebun kecil tidak bergantung semata-mata kepada getah sebaliknya dapat diimbangi dengan pendapatan yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 2:33 PM