GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Polis Terengganu menerima dua laporan polis berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam tempoh lima hari berkempen bermula 5 November lalu.

Ketua Urusetia PRU-15 Polis Kontinjen Terengganu Superintendan Mohd Aluwi Husain berkata, ia masing-masing membabitkan satu kes di daerah Kemaman dan Marang yang diterima pada Isnin dan Selasa lalu.

Beliau berkata, laporan polis di Kemaman dibuat seorang lelaki selepas menerima mesej daripada 'Group Anak Muda Kemaman' berkaitan poster yang menghina calon Barisan Nasional (BN).

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan manakala di Marang pula, ia membabitkan kejadian bendera parti yang dipasang di tepi jalan Kampung Banggol Tasek, Bukit Payung dicabut dan diletakkan di sebuah wakaf berdekatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Aluwi berkata, 128 permohonan ceramah diluluskan di seluruh Terengganu setakat semalam.

Katanya, ia membabitkan 86 pemohonan daripada Perikatan Nasional (PN), 37 (BN) manakala lima daripada Pakatan Harapan (PH).

"Polis Terengganu juga turut memantau aktiviti-aktiviti kempen calon dan parti-parti yang bertanding dalam PRU-15 termasuk tindakan proaktif yang dijalankan di setiap daerah dengan menyasarkan lawatan-lawatan ke markas-markas parti yang bertanding.

"Dalam tempoh berkenaan, kita sudah melawat 366 markas parti politik di seluruh Terengganu.

"Polis Kontinjen Terengganu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutamanya parti-parti yang bertanding atas kerjasama yang sangat baik sepanjang tempoh berkempen dan berharap situasi ini terus dikekalkan sehingga selesai hari mengundi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 2:57 PM