GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu taktik sindiket penipuan yang menghantar e-mel kepada orang ramai yang kononnya dikenakan kompaun dan saman lalu lintas.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, taktik itu dihantar secara meluas kepada e-mel individu dengan menggunakan logo rasmi PDRM bagi memperdaya masyarakat.

"Halaman itu memaparkan notifikasi bahawa individu terbabit memiliki saman di bawah kesalahan lalu lintas yang tertunggak dan perlu dijelaskan segera.

"E-mel itu juga mendakwa sekiranya 'saman' itu tidak dijelaskan, tindakan undang-undang akan diambil," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, e-mel itu turut menyatakan dan meminta pengguna membayar sejumlah wang secara dalam talian atau kandungan, melalui pautan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan taktik sindiket penipuan.

"Adalah ditegaskan bahawa tiada sebarang transaksi pembayaran daripada pihak polis dilakukan melalui e-mel seumpama itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 9:18 AM