GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Melaka: Kerajaan Negeri Melaka mengumumkan bayaran khas RM300 kepada penjawat awam negeri dan akan dibayar sebelum 10 Ogos ini.

Tanpa menyatakan tarikh tepat, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Bantuan Khas Penghargaan itu membabitkan peruntukan RM2.16 juta kepada 7,190 penjawat awam di negeri itu.

Beliau berkata, ia akan disalurkan kepada penjawat awam di bawah perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri.

"Selaras dengan pengumuman Kerajaan Persekutuan, maka kerajaan negeri bersetuju memberikan Bantuan Khas Penghargaan kepada semua penjawat awam di Melaka.

"Bayaran ini membuktikan kerajaan sentiasa menghargai penjawat awam sama ada yang masih berkhidmat atau yang telah bersara daripada perkhidmatan awam," katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bagi Julai 2023 di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat pada 27 Julai lalu, mengumumkan Bantuan Khas Penghargaan RM300 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah, termasuk lantikan kontrak, dan RM200 pula akan diberikan kepada pesara kerajaan.

Pembayaran akan dibuat pada 10 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 12:54 PM