Shahrima Rodzi (kanan), bersama suami di pusara anak mereka di Tanah Perkuburan Islam Taman Uda. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Shahrima Rodzi (kanan), bersama suami di pusara anak mereka di Tanah Perkuburan Islam Taman Uda. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


Alor Setar: Mahu duduk di atas riba bapa dan genggam erat tangan ibu. Itu antara momen terakhir Mohd Irfan Kamil Mohd Shukor, 11, bersama keluarga sebelum dia meninggal dunia selepas empat tahun berjuang melawan penyakit kanser leukemia ALL (Acute Lymphoblastic Leukemia).

Mohd Irfan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, 9.55 pagi semalam, selepas doktor mengesahkan bahawa kanser itu sudah berada pada tahap akhir serta tiada ubat yang mampu merawat penyakitnya.

Ibunya, Shahrima Rodzi, 40, berkata, Mohd Irfan atau mesra dipanggil Abang Ngah dibenarkan keluar dari wad pada Sabtu lalu, dan sejak itu mereka sekeluarga menghabiskan masa bersama di rumah di sini.

Katanya, keadaan Mohd Irfan sejak itu agak lemah, sehinggalah dia mengadu sakit belakang kira-kira 8 malam Isnin lalu, sebelum dihantar ke HSB dengan menaiki ambulans.

"Mohd Irfan (ketika itu) kelihatan terlalu menahan sakit, beberapa kali dia tanya 'Abang Ngah dah nak mati ke?' dan berkata, dia 'takut' serta mahu duduk di atas riba bapanya.

"Abang Ngah juga genggam erat tangan saya dan sebagai ibu, kenangan itu tidak mungkin dapat dilupakan.

"Pagi tadi (pagi semalam), saudara suami yang berada di Vietnam hubungi kami, mengatakan bermimpi Mohd Irfan berpakaian jubah putih serta minta sampaikan pesanan kepada saya dan suami supaya tidak perlu risau kerana 'semua urusan sudah selesai' sebelum dia (Mohd Irfan) benar-benar tinggalkan kami tidak lama kemudian, " katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Taman Uda, di sini, semalam.

Terdahulu Harian Metro melaporkan mengenai hasrat Mohd Irfan yang juga pencinta haiwan mahu berkunjung ke Zoo Negara.

Berikutan Mohd Irfan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan, Shahrima terpaksa melupakan dahulu hasrat anak kedua daripada tiga beradik itu sehingga dirasakan sesuai.

Mengulas lanjut Shahrima berkata, dia berterima kasih kepada pelbagai pihak khususnya Zoo Negara yang mahu menaja kos dan keperluan anaknya ke zoo itu.

Malah, pihak Zoo Negara dan kenalan di tempat kerja juga sudah hampir selesai persiapan bagi melakukan penjelajahan sekitar zoo secara dalam talian dan pada peringkat akhir, iaitu memasang projektor di rumah mereka.

"Saya amat hargai usaha murni semua pihak dan terharu dengan sikap keprihatinan mereka yang berusaha menggembirakan anak syurga kami.

"Namun, masa tidak mengizinkan berikutan keadaan Mohd Irfan yang semakin tidak menentu dan kami reda dengan ketetapan Ilahi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 8:56 AM