FARAH Lee menyertai misi bersama Serantau Muslim membantu rakyat Yaman yang kini hidup dalam kesusahan akibat peperangan saudara. FOTO Ihsan Serantau Muslim
FARAH Lee menyertai misi bersama Serantau Muslim membantu rakyat Yaman yang kini hidup dalam kesusahan akibat peperangan saudara. FOTO Ihsan Serantau Muslim
Muhaamad Hafis Nawawi

Sana'a: "Ramai yang mati di Yaman bukan kerana perang semata-mata, namun akibat kebuluran, penyakit berjangkit dan banyak masalah lain di negara bergolak terbabit." Itu kata personaliti media sosial yang juga aktivis kemanusiaan, Farah Lee.

Yaman adalah sebuah negara yang terletak di Jazirah Arab (Semenanjung Arab), kawasan Timur Tengah yang mempunyai banyak tempat yang menarik untuk diterokai.

Namun kini, Yaman agak berbahaya akibat pemberontakan Sa'dah yang juga dikenali dengan perang saudara di negara itu, sejak Jun 2004.

Walaupun situasi di sana agak berbahaya, dengan kemungkinan jaminan keselamatan yang rendah dan serangan yang tidak diduga, namun Farah Lee nekad mengikuti misi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Serantau Muslim ke negara itu.

Farah Lee berkata, beliau sangat berasa tanggungjawab untuk 'membongkar' kemelut kemanusiaan di Yaman untuk diketengahkan kepada komuniti dunia, khususnya rakyat Malaysia.

"Isu kemanusiaan di Yaman ini adalah yang terburuk di dunia dan kenyataan ini dikeluarkan sendiri oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Apa yang lebih mengejutkan juga, lebih 17.4 juta penduduk Yaman yang terkesan dengan konflik yang berlaku di dalam negara mereka sejak lapan tahun lepas," katanya.

Menurutnya, ramai rakyat di negara bergolak itu meninggal dunia bukan disebabkan perang semata-mata, namun sebab lain seperti kebuluran dan penyakit berjangkit.

"Saya mahu ambil keberkatan Yaman yang didoakan Rasulullah, saya yakin setiap pengorbanan kita akan dinilai di sisi Allah SWT."

"Penduduk Yaman kini mengharapkan bantuan dan perhatian kita," katanya.

Beliau juga menyeru kepada semua untuk menyokong misi kemanusiaan ini kerana ia bukan sekadar misi kebajikan semata-mata, tetapi ia sebagai tanda kebersamaan kepada umat Islam di Yaman.

Beliau mengajak ramai-ramai memberikan sokongan, doa dan sumbangan kepada kempen Untukmu Yaman yang digerakkan oleh Serantau Muslim.

Misi Untukmu Yaman berlangsung ketika ini di mana mereka sedang mengagihkan sumbangan di Marib, Yaman.

Antara sumbangan yang diagihkan termasuk bantuan makanan, bekalan air bersih, sedekah daging, tajaan guru, bantuan alat kelengkapan sekolah. Selain itu, bantuan juga menerusi projek ekonomi masyarakat dan klinik bergerak.

Marib adalah sebuah wilayah yang dihuni oleh lebih dua juta pelarian. Mereka datang dari wilayah lain dan terpaksa menjadi pelarian di dalam negara mereka sendiri.

Mereka memilih menjadi pelarian di Marib kerana ia adalah antara wilayah yang selamat untuk diduduki berbanding di lokasi lain di Yaman yang sentiasa berisiko untuk diserang dan diancam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 10:31 AM