Balu syahid perang Yaman menerima sumbangan mesin jahit di Marib
Balu syahid perang Yaman menerima sumbangan mesin jahit di Marib
Othman Mamat


Marib (Yaman): Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) dan pasar raya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, berjaya merealisasikan cita-cita rakyat Malaysia dengan melaksanakan program pemerkasaan kepada pelarian dalam negara (IDP) Yaman bagi menjana dan memulihkan ekonomi mereka.

Ibarat memberikan joran dan bukannya ikan untuk ikhtiar hidup, beberapa projek perintis bagi pemerkasaan ekonomi seperti penternakan kambing, kedai runcit dan sumbangan mesin jahit telah dilaksanakan oleh keluarga mangsa pelarian menerusi tajaan dan sumbangan kewangan dan bahan asas.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare, Dr Mohd Zin Kandar berkata, tujuan utama program pemerkasaan ini ialah meningkat ekonomi yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan sosioekonomi rakyat Yaman keseluruhannya.

"Kita maklum disebabkan suasana yang sukar di Yaman sekarang, di mana hampit tiga juta penduduk Marib ini menjadi pelarian, kita tahu ramai yang tiada pekerjaan.

"Begitu ramai penduduk yang miskin dan perlukan suntikan ekonomi dan memerlukan semangat.

"Kita berikan 'joran' dan bukan ikan kepada mereka untuk ikhtiar hidup jangka masa panjang. Harap ekonomi pelarian ini berkembang, hidup bertambah baik dan projek berjaya," katanya selepas penyerahan baka kambing kepada penghuni Kem Pelarian Al-Hadad di sini, pada Jumaat.

Hampir tiga juta mangsa perang menjadi pelarian di daerah ini sejak fenomena Arab Spring tercetus yang menjejaskan ekonomi dan mencetuskan krisis kemanusiaan di negara ini.

Fenomena itu turut mengakibatkan sistem zakat dan wakaf di negara ini runtuh serta rakyat pula hilang pekerjaan.

Dr Mohd Zin yang juga Penasihat MyCare Johor berkata, menerusi projek itu, pihaknya memberikan 50 ekor kambing kepada 10 keluarga dengan kos AS$7,500 (RM35,000), 10 mesin jahit bernilai AS$6,500 (RM30,000) dan empat kedai runcit dengan modal AS$10,000 (RM46,000).

Sementara itu, seorang penerima baka kambing, Ali Ahmad Almarbi, 42, berkata dia sudah bersedia menerima lima ekor baka kambing berkenaan dan sebelum ini pernah menternak haiwan itu di tempat kelahirannya di Sanaa sebelum perang tercetus.

Bapa kepada enam anak itu berkata, sumbangan kambing itu tepat pada masanya kerana dia tidak mempunyai pekerjaan dan sudah pun menyiapkan kandang kambing.

"Saya harap kambing-kambing ini akan membiak dan memberi sumber pendapatan kepada keluarga saya," katanya yang berkerja sebagai petani dan penternak di Sanaa.

Penerima sumbangan mesin jahit, Najibah Muslih, 35, berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberikan sumbangan itu dan merancang menjahit lebih banyak pakaian berbanding menggunakan mesin jahit lamanya.

"Saya merancang mengambil upah jahit pakaian untuk jiran-jiran sebelum meluaskan pasaran," kata ibu kepada empat cahaya mata itu yang mempunyai kemahiran menjahit sejak di bangku sekolah lagi

MyCare dan Econsave kini mengadakan misi kemanusiaan bagi menyerahkan bantuan musim sejuk kepada pelarian perang dan Syria dan Yaman mulai 18 hingga 31 Disember ini.

Misi diketuai Dr Mohd Zin dan turut disertai Pengurus Besar pasar raya Econsave, Mas Imran Adam, Pengurus MyCare Johor, Rozi Abdul Ghani serta sukarelawan dan petugas media.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 2:36 PM