Mas Imran (dua dari kanan) dan Dr Mohd Zin (tiga dari kanan) menyerahkan pek makanan kepada pelarian di Kem Pelarian As Salam, Marib, Yaman. FOTO Othman Mamat
Mas Imran (dua dari kanan) dan Dr Mohd Zin (tiga dari kanan) menyerahkan pek makanan kepada pelarian di Kem Pelarian As Salam, Marib, Yaman. FOTO Othman Mamat
Othman Mamat


Marib (Yemen): "Saya akan terus melawan (Houti) sehingga akhirnya salah seorang daripada kami terbunuh. Saya akan kembali ke Sanaa untuk membina semula negara kami.

"Saya pasti akan pulang semula ke kampung halaman kami, rumah-rumah kami, ladang-ladang kami," kata Abdullah Muhammad Ahmad Al-Dabyani, 57.

Beliau adalah seorang pejuang yang bangkit menentang rejim Houti di barat Yaman yang terpaksa meninggalkan kehidupan selesa dengan dua rumah dan dua ladang pertanian di Sanaa kerana diancam untuk dibunuh oleh tentera Houti kerana enggan mengikut arahan mereka.

Abdullah yang kini tumpang berteduh di khemah usang di kem pelarian di sini sejak enam tahun lalu, berkata, beliau bertekad untuk menentang rejim Houti sehingga titisan darah terakhir demi mempertahankan maruah diri dan keluarga.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, Houti tidak mengikut ajaran Islam sebenar dan menindas rakyat dengan memperkenalkan pelbagai peraturan yang tidak masuk akal.

"Mereka memerintahkan kami membayar 20 peratus daripada pendapatan bulanan kami sedangkan kami telah membayar zakat mengikut perintah Allah. Kami tidak boleh menerimanya.

"Jika kami tidak akur perintah, Houti akan bunuh kami tanpa alasan, pengadilan dan penghakiman mahkamah. Kami terpaksa melarikan diri kerana tidak mahu ikut pemerintah yang tidak ikut perintah Allah," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian 500 pek makanan sumbangan rakyat Malaysia oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCare) dan pasar raya Econsave Cash & Carry Sdn Bhd di kem pelarian As Salam, di sini.

MyCare dan Econsave kini mengadakan misi kemanusiaan musim sejuk di Syria, Yaman dan Mesir sejak 18 hingga 31 Disember ini.

Misi diketuai Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare, Dr Mohd Zin Kandar dan disertai Pengurus Besar Pasar raya Econsave, Mas Imran Adam, Pengurus MyCare Johor, Mohd Rozi Abdul Ghani serta sukarelawan dan petugas media.

Sementara itu, Dr Mohd Zin berkata, penderitaan kira-kira lima juta mangsa perang yang menjadi pelarian di Yaman akan dibawa ke peringkat antarabangsa agar lebih banyak bantuan kemanusiaan dapat disalurkan ke negara itu.

Menurutnya, usaha itu akan dibawa pihaknya menerusi pelbagai kaedah dan jaringan antarabangsa kerana keadaan di Yaman lebih menyedihkan berbanding negara lain yang pernah bergolak seperti di Syria.

Penasihat MyCARE Johor itu berkata, antara isu utama yang akan diketengahkan adalah pendidikan khusus buat kanak-kanak yang mendiami kem-kem pelarian di negara itu.

"Krisis kemanusiaan di Yaman adalah yang paling lebih teruk sekali dan jumlah pelariannya lebih ramai daripada di Syria. Mereka berada di negara sendiri dan terpinggir daripada bantuan luar," katanya.

Terdahulu, beliau diiringi Pengurus Besar Pasar Raya Econsave Sdn Bhd, Mas Imran Adam dan Pengurus MyCARE Johor Rozi Abdul Ghani menyampaikan 500 pek bantuan makanan hasil sumbangan rakyat Malaysia yang diuruskan MyCARE dan Econsave di di Kem Pelarian As-Salam di sini.

Mas Imran pula berkata, bilangan kem pelarian di negara ini lebih banyak berbanding di negara lain dan amat memerlukan khemah baharu yang lebih selesa dalam keadaan musim sejuk ketika ini.

"Selain itu untuk bantuan sementara, menerusi sumbangan hari ini kita berikan pek makanan antaranya mengandungi beras, gula, susu tepung dan minyak masak. Harap dapat meringankan beban mereka," ujar beliau.

Dalam pada itu, seorang tentera Yemen, Hasan, 30, putus kedua-dua belah kakinya terkena bom ketika mahu menyelamatkan rakannya yang cedera ditembak tentera pemberontak Houti dalam satu kejadian pada 2018.

Bapa kepada dua anak yang berasal dari Sanaa itu tidak berfikir panjang keadaan berbahaya pada masa berkenaan malah tidak pernah menyangka tindakan nekad berkenaan akan mengubah perjalanan hidupnya selama-lamanya.

"Insiden ini membuatkan saya menjadi cacat dan tidak boleh lagi berjalan termasuk mencari nafkah untuk keluarga. Saya memakai kaki palsu sejak kaki saya kudung tetapi tidak pernah berputus asa untuk meneruskan hidup," katanya.

Abdul Ali Muhammad Hussin, 50, yang tinggal di kem pelarian terbabit dan tidak bekerja mahu peperangan di negara berkenaan segera dihentikan kerana golongan pelarian berisiko diancam kebuluran.

Dia yang mempunyai empat cahaya mata berkata, kehidupannya kini amat perit dan susah serta terpaksa bergantung dengan ihsan pihak lain.

Rabia Mohammed Ahmad, 22, berkata, rumahnya di Sanaa sudah musnah dibom tentera Houthi sebelum dia dan isteri bersama dua anaknya melarikan diri ke daerah ini serta berlindung di kem pelarian.

Menurutnya yang sudah lapan tahun berada di kem pelarian berkenaan, kehidupan begitu mencabar apabila tiada pekerjaan dan anak-anaknya juga tidak pergi ke sekolah.

"Sebahagian kami tinggal dalam khemah usang dan rumah yang dibina sementara dalam kem pelarian ini tanpa ada bumbung. Di sini tiada sekolah khusus untuk anak-anak pelarian belajar.

"Kos untuk menghantar anak ke sekolah amat tinggi dan kami tidak mampu, ini menjadikan anak-anak kami tidak ke sekolah. Kami juga tiada pakaian musim sejuk yang sedang melanda ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 11:59 AM