MOHD Zaidy ketika menerima rawatan. FOTO Ihsan Pembaca
MOHD Zaidy ketika menerima rawatan. FOTO Ihsan Pembaca
Ahmad Hasbi


Tampin: Calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Jeram Padang, Jempol, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir daripada Barisan Nasional (BN), patah kaki kiri, manakala pembantunya parah selepas terbabit kemalangan jalan raya di Jalan Pasir Besar dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, ketika kejadian 3 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari arah Bahau menuju ke Palong.

"Kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger yang dipandu Datuk Mohd Zaidy, iaitu calon BN bagi Dun Jeram Padang, bersama pembantunya.

"Hasil siasatan mendapati, kemalangan berlaku ketika beliau dalam perjalanan ke Palong dari arah Bahau melalui Jalan Pasir Besar," katanya pada kenyataan, hari ini.

Anuwal berkata, akibat kemalangan, penumpang mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Jempol untuk rawatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tampin di talian 06-4412502 dan Bilik Gerakan IPD Tampin di talian 06-4431999 bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 2:25 PM