MOHD Zaidy ketika menerima rawatan. FOTO Ihsan Pembaca
MOHD Zaidy ketika menerima rawatan. FOTO Ihsan Pembaca
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Keadaan kesihatan Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram Padang (Adun) Datuk Mohd Zaidy Abd Kadir semakin pulih selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, 31 Julai lalu.

Ketika dihubungi, Mohd Zaidy berkata, dia semakin pulih namun keretakan pada kaki kirinya memerlukan masa dua atau tiga bulan untuk sembuh sepenuhnya.

"Bagaimanapun saya tetap meneruskan amanah yang diberikan rakyat di Dewan Undangan Negeri Jeram Padang terutama dalam memberi penjelasan terhadap kesepakatan Kerajaan Perpaduan supaya mesej dan agenda yang hendak disampaikan selari antara kerajaan negeri dan pusat," katanya.

Menurutnya, pemandunya yang turut terbabit dalam kemalangan itu juga sudah beransur pulih.

Katanya, tangan kiri pemandunya patah selain mengalami kecederaan pada tekak namun sudah dibenarkan keluar dari hospital.

Mohd Zaidy terbabit dalam kemalangan di Jalan Pasir Besar-Palong pada jam 3.25 pagi, 31 Julai lalu.

Pada PRN lalu, Mohd Zaidy menang dengan majoriti 693 undi apabila berjaya memperoleh 5,462 undi untuk menewaskan calon Perikatan Nasional Datuk Seri S Surash yang juga Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Negeri Sembilan yang mendapat 4,769 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 5:07 PM