Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias (dua dari kanan) ketika melawat calon BN Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir di Hospital Jempol. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias (dua dari kanan) ketika melawat calon BN Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir di Hospital Jempol. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Jempol: Waktu berkempen bukan penyebab kepada kemalangan yang berlaku terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir.

Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, waktu berkempen yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada setiap calon sehingga 12.30 tengah malam pada masa ini adalah memadai.

"Datuk Mohd Zaidy (merupakan) calon baru, mungkin menggunakan waktu selepas jam yang dibenarkan berkempen itu untuk bertemu dengan jentera.

"Menyusun strategi dan melakukan bedah siasat pada hari berkenaan untuk diperbaiki pada keesokan harinya tanpa mengambil kira waktu rehat.

"Ini yang saya katakan tadi, waktu kempen bukan penyebab kepada perkara-perkara yang berlaku seperti kemalangan dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas melawat calon BN itu di Hospital Jempol.

Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini menerusi catatan di akaun Facebooknya memaklumkan, Mohd Zaidy terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pasir Besar-Palong, awal pagi hari ini.

Mengulas lanjut, Jalaluddin turut menasihatkan agar semua calon tanpa mengira parti politik untuk mengambil iktibar daripada kejadian seperti ini.

"Jaga keselamatan dan kesihatan. Tentunya waktu sebegini adalah waktu yang sangat kurang rehat bagi setiap calon.

"Jangan ambil mudah tentang soal keselamatan dan kesihatan. Betul, kita berkempen semaksimum mungkin tapi dalam soal keselamatan tidak boleh dikompromi," katanya.

Beliau yang juga merupakan calon Dun Pertang berkata, Mohd Zaidy tidak akan dapat berkempen secara agresif bagi 11 hari di Jeram Padang selepas terbabit dengan kemalangan.

"Tapi itu tak mendatangkan masalah kepada calon BN kerana boleh berkempen dan menggunakan pendekatan secara maya.

"Cumanya khuatir keadaan pemandunya yang agak kritikal sekarang. Sama-sama kita mendoakan beliau dan Datuk Mohd Zaidy segera sembuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 3:48 PM