Muhammad Yusri Muzamir


Balik Pulau: Pas mengakui tidak memerlukan simpati daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai mekanisme bagi memuktamadkan sebarang pembentukan kerjasama dengan mana-mana pihak.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, kerjasama dengan mana-mana pihak sebaliknya hanya perlu dimuktamadkan berpandukan asas perjuangan yang selari, seperti ditetapkan parti Islam itu.

Ahli Majlis Syura Ulamak Pas itu turut menegaskan parti Islam berkenaan bersedia memaafkan mana-mana seteru politik yang mahu menjalinkan kerjasama, biarpun pihak terbabit lantang mengkritik Pas, sebelum ini.

"(Kerjasama dengan dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin) adalah petunjuk yang Pas sebagai parti berjiwa besar. Anwar juga perlu ingat beliau menentang Pas selama 17 tahun, sebelum ini.

"Beliau mengkritik Pas, termasuk Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat menerusi ucapan cukup berbisa ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan pimpinan Umno ketika itu, pada ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Semerak, sebelum ini.

"Namun, Pas masih 'sambut' beliau selepas dipecat Dr Mahathir pada 1998. Pendekatan kita adalah memaafkan dan bersedia berkawan dengan sesiapa pun yang cenderung untuk berdamai," katanya kepada Berita Harian, malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Anwar yang secara berseloroh menyatakan kasihan terhadap Perikatan Nasional (PN), terutama Pas kerana menjalin kerjasama dengan dua pemimpin yang pernah melabel parti Islam itu sebagai 'Parti Ajaran Sesat' dan parti kafir.

Idris antara lain menyifatkan kegusaran Anwar sebagai signal jelas mempamerkan tahap ketakutan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) terhadap kebangkitan rakyat, selepas Dr Mahathir dilihat kerap berkempen bersama Pas dan PN.

"Beliau (Anwar) cukup takut sehingga mendakwa pimpinan Mahathir sudah lapuk dan dianggap sudah tidak berpengaruh walaupun kita tak pernah upah atau sogok Dr Mahathir tetapi beliau yang bersama-sama untuk meneruskan agenda bersama," kata Ahli Parlimen Bagan Serai itu.

Terdahulu, Idris menerusi ceramah PN Best di Pulau Betong menggesa Anwar berundur daripada jawatan Perdana Menteri, jika gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) gagal meraih sokongan pengundi pada enam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 9:26 AM