NOORAZLI ketika sidang media selepas penamaan calo. FOTO Mohd Fadli Hamzah
NOORAZLI ketika sidang media selepas penamaan calo. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Amir Abd Hamid


Cyberjaya: "Melalui gabungan sokongan parti terbesar Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), kita harap dapat mengembalikan Dengkil bersama dengan Kerajaan Perpaduan."

Itu harapan Noorazli Said, 45, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 Selangor.

Beliau yang kali pertama dipertaruhkan berhasrat berkhidmat kepada rakyat supaya dapat membantu dalam menyalurkan lebih banyak lagi bantuan dan peruntukkan serta menyempurnakan dasar lebih baik untuk rakyat.

"Berilah peluang kepada saya untuk membuktikan apa yang dihajati dapat direalisasikan. Saya mohon sepenuhnya sokongan tidak berbelah-bahagi daripada masyarakat khususnya pengundi di Dengkil.

"Apa pun, melihat kepada calon lain, saya menghormati setiap calon yang bertanding. Mereka tidak asing dengan masyarakat sekitar.

"Cuma kita mengharapkan melalui gabungan dua parti terbesar BN dan PH, kita dapat menciptakan satu keajaiban (kemenangan)," katanya yang ditemui selepas disahkan sebagai seorang daripada empat calon DUN Dengkil di Pusat Penamaan Calon di Dewan Semarak, di sini, hari ini.

Selain Noorazli yang juga Pengerusi BN Sepang dan Ketua Bahagian Umno Sepang, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Dengkil, Datuk Abd Hamid Hussain mengesahkan tiga lagi calon lain yang bertanding adalah Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Jamil Salleh, 64, calon Parti Utama Rakyat (PUR) Datuk Mohd Daud Leong Abdullah, 58, dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Profesor Darren Ong Chung Lee, 36.

Sementara itu, Jamil berkata beliau bukanlah 'calon pelancong' kerana sudah menetap di Dengkil selama lima tahun selain 40 tahun bekerja di kawasan Lembah Klang.

Ahli Bersatu Sepang itu juga adalah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Tiada isu 'calon pelancong'. Alhamdulillah saya biasa dengan Dengkil. Team DSJ (Datuk Seri Jamil) semuanya bersatu hati.

"Jika dipilih, saya berkelebihan berada bersama pasukan yang ada di peringkat negeri dan kebangsaan berdasarkan rangkaian hubungan yang ada.

"Ada ramai 'networking' dalam kerajaan. Kita akan memikirkan untuk membina kesejahteraan rakyat Dengkil khususnya dan Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 1:53 PM