DATUK Seri Jamil Salleh ketika diumumkan memenangi kerusi DUN Dengkil, semalam. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Seri Jamil Salleh ketika diumumkan memenangi kerusi DUN Dengkil, semalam. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Samadi Ahmad


Dengkil: "Walaupun dilabel sebagai 'pelancong pilihan raya', ia langsung tidak menjejaskan semangat untuk terus berkempen dan menambat hati pengundi di kawasan ini," kata Datuk Seri Jamil Salleh yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Dengkil, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.

Jamil, 64, yang memperoleh 33,561 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) yang juga Pengerusi BN Sepang, Noorazli Said yang mendapat 33,153 undi.

Katanya, walaupun memperoleh majoriti tipis namun kejayaan itu memberi hadiah paling bermakna kepada pengundi di kawasan Dengkil yang inginkan perubahan.

"Saya amat terharu kerana mendapat sokongan padu daripada semua pengundi walaupun pertama kali bertanding.

"Ia juga sokongan jentera parti yang bertungkus-lumus bekerja siang dan malam bagi memastikan kejayaan PN ,"katanya.

Jamil berkata, kebanyakan undi dimenangi adalah dari golongan muda yang mungkin mahukan suatu pembaharuan dalam tampuk pentadbiran negara.

Katanya, beliau akan bekerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri yang akan dibentuk dalam masa terdekat demi membantu rakyat di Dengkil.

"Hari ini adalah hari pertama saya bergelar 'wakil rakyat' dan perkara pertama yang dibuat adalah bertemu dengan semua jentera parti bagi menzahirkan ucapan terima kasih atas usaha serta bantuan dalam membantu memenangkan PN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2023 @ 7:06 PM