DATUK Seri Jamil Salleh ketika penamaan calon semalam. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Seri Jamil Salleh ketika penamaan calon semalam. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Samadi Ahmad


Putrajaya: Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (Dun) Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh, menafikan beliau penduduk luar dan dilabel sebagai 'pelancong pilihan raya'.

Sebaliknya, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu berkata, ia adalah tuduhan tidak berasas dilakukan pihak yang tidak berpuas hati dengannya.

"Sudah lebih lima tahun saya tinggal di Dengkil, dan saya menjemput sesiapa sahaja yang tidak berpuas hati untuk melihat sendiri rumah saya di sini.

"Malah, ketika berkhidmat dalam kerajaan saya tinggal di Lembah Klang lebih 40 tahun, selain arif dengan kawasan Dengkil," katanya.

Bagi mempertahankan kerusi Dun Dengkil yang dimenangi calon Bersatu, Adhif Syan Abdullah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, Jamil berkata, beliau mempunyai pasukan sendiri iaitu 'DSJ' (Datuk Seri Jamil) yang terdiri daripada penduduk di kawasan itu, dibantu pasukan DSJ dari luar.

Menurutnya, sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat, beliau akan menjadikan pengalaman lebih 40 tahun ketika berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan KPDNHEP sebagai pengimbang untuk memberi idea serta teguran bagi memastikan segala perancangan kerajaan berada di landasan yang betul.

"Kita bukan bercakap kosong tetapi berdasarkan fakta.

"Saya masih mempunyai hubungan dan rangkaian di peringkat kerajaan dan kelebihan ini dapat dimanfaatkan bagi membangunkan kawasan Dengkil dan Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 2:06 PM