Calon Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Noorazli Said. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Calon Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, Noorazli Said. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Oleh Samadi Ahmad


Sepang: Berbaki dua hari berkempen, calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (Dun) Dengkil, Noorazli Said melakukan pecutan akhir bagi meraih undi dalam kalangan pengundi muda.

Noorazli, 45, berkata, beliau menggunakan pengalaman sebelum ini sebagai Ketua Pemuda Umno Sepang dalam mendampingi dan mendekati anak muda di kawasan itu.

Menurutnya, sebagai anak jati kelahiran Tanjung Sepat beliau bukan orang asing di Dengkil mahupun Sepang dan sudah banyak menabur bakti terutama ketika daerah ini dilanda banjir pada akhir tahun 2021 dan pandemik Covid-19.

Katanya, beliau membawa tujuh tekad pada PRN kali ini merangkumi inisiatif kesihatan, infrastruktur, keagamaan, pendidikan, sukan, kebajikan dan ekonomi.

"Saya sudah bertemu dengan ramai pengundi di Dengkil membabitkan semua golongan Melayu, Cina, India termasuk Orang Asli, malah bukan hanya turun padang ketika PRN sahaja," katanya.

Pada PRN 12 Ogos ini, Dun Dengkil menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Parti Utama Rakyat, Datuk Mohd Daud Leong Abdullah, calon Perikatan Nasional (PN), bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Jamil Salleh dan wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM),Darren Ong.

Noorazli berkata, beliau menggunakan dua strategi berkempen iaitu berjumpa terus dengan pengundi dan melalui media sosial Tik Tok dan Facebook yang mendapat sambutan menggalakkan.

Menurutnya, beliau melihat trend pengundi muda di sini mula berpihak kepada BN dan mereka sudah makin matang untuk membuat pilihan.

Katanya, pendidikan anak muda juga menjadi suatu keutamaan dan akan membantu lebih ramai golongan ini untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi.

"Sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat saya juga akan membantu golongan muda yang bekerja untuk mendapatkan rumah sendiri melalui Program Rumah Mesra Rakyat (RMR),Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang terbukti memberi manfaat perumahan khusus kepada golongan B40 yang mempunyai tanah sendiri atau tanah milik ahli keluarga," katanya.

Noorazli berkata, beliau juga akan mewujudkan sebuah hub perniagaan gig di Dengkil untuk golongan muda yang meminati bidang perniagaan dilengkapi dengan infrastruktur seperti internet,studio dan kurier bagi memudahkan mereka menjalankan urusan secara berpusat.

Menurutnya, mungkin terdapat sebahagian golongan muda tidak mahu meneruskan pelajaran selepas tamat tingkatan lima atau universiti dan mereka lebih cenderung kepada bidang perniagaan, jadi kita bantu mereka dari segi bimbingan dan mendapatkan pinjaman perniagaan.

Katanya, keutamaannya ketika ini adalah misi merampas kembali DUN Dengkil yang selama ini menjadi kubu kuat Umno dan BN.

"Saya juga tidak tergugat berdepan dengan calon diketengahkan Perikatan Nasional (PN) dari kalangan berprofil tinggi

daripada Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) kerana calon diketengahkan itu bukan dari kalangan penduduk tempatan.

"Walaupun wujud sentimen yang sedikit marah kepada gabungan Kerajaan Perpaduan (PH), namun perlu diingat bahawa gabungan ini belum teruji dalam mana-mana pilihan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 11:24 AM