Putrajaya: Seorang peguam dan isterinya berdepan detik cemas apabila disamun empat penjenayah yang memecah masuk rumah mereka, sebelum melarikan sepucuk pistol, wang tunai dan barang kemas bernilai RM150,000 di Presint 15, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.20 pagi, perompak berkenaan disyaki masuk menerusi pintu belakang yang diumpil dan dikerat mangga kuncinya menggunakan alat pemotong.

Menurut sumber, ketika kejadian pasangan suami isteri itu tidur sebelum perompak mengejutkan mereka dan diikat dengan tali langsir.

“Suspek kemudian menggeledah rumah dan peti besi milik mangsa sebelum melarikan sepucuk pistol dan wang tunai serta barang kemas dianggarkan bernilai RM150,000.

“Penjenayah dipercayai mengambil masa 20 hingga 30 minit untuk melakukan jenayah itu. Siasatan awal mendapati suspek masuk melalui pintu gelongsor di bahagian belakang rumah sebelum memotong kunci dengan alat pemotong,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, suspek dipercayai melarikan diri ke arah kawasan Taman Rimba Alam, Presint 15, di sini.

Katanya, polis percaya semua suspek memakai sarung tangan ketika memecah masuk rumah mangsa kerana tiada kesan cap jari ditemui di tempat kejadian.

Sehubungan itu, katanya, penduduk dinasihat memastikan rumah mereka sentiasa dikunci, selain alat penjagaan keselamatan berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 6:07 AM