DUIT bertaburan di kawasan dinding kedai yang ditebuk penjenayah.
DUIT bertaburan di kawasan dinding kedai yang ditebuk penjenayah.
KEDAI pakaian yang diumpil perompak sebelum menebuk dinding ke kedai emas.
KEDAI pakaian yang diumpil perompak sebelum menebuk dinding ke kedai emas.
Zatul Iffah Zolkiply dan Rosli Ilham


Chukai: “Perompak itu seperti tahu kedudukan peti simpanan emas sebelum menggerudi dinding,” kata Mohd Nasir Ali, 50, seorang pemilik daripada dua kedai emas yang dirompak di pusat beli-belah Kemaman Centre Point, di sini, semalam.

Menurutnya, perompak terbabit menebuk dinding kedai pakaian selepas memasuki premis berkenaan dan di belakang itu adalah peti besi tempatnya dan rakan kedai emas di sebelah premisnya menyimpan barang kemas.

“Kebanyakan barang kemas yang disimpan di dalam peti itu sudah ditempah pelanggan dengan kerugian dianggarkan bernilai RM600,000,” katanya di lokasi kejadian, semalam.

Mohd Nasir berkata, dia yang menerima panggilan daripada polis pada jam 8 pagi yang memaklumkan kejadian itu bergegas ke kedainya bagi melihat keadaan sebenar.

“Secara kebetulan, kedai saya baru selesai diubah suai dan tidak memasang kamera litar tertutup (CCTV).

“Saya ingat mahu beli CCTV baru pada minggu depan dan tidak sangka kejadian ini berlaku,” katanya yang mendakwa pertama kali mengalami kejadian itu sejak memulakan perniagaan pada 2010.

Dalam kejadian jam 1.27 pagi itu, tiga perompak bersenjatakan parang itu mengikat dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di kompleks berkenaan.

Bagaimanapun, anggota RELA berkenaan berjaya membuka ikatan sebelum menghubungi polis jam 5 pagi.

Seorang lagi pemilik kedai emas, Mohd Suhaimi Abdul Rahman, 37, berkata, dia mengalami kerugian RM200,000 selepas kedai emasnya turut menjadi sasaran kumpulan penjenayah terbabit.

Menurutnya, dia percaya perompak itu mengetahui kedudukan peti simpanan emas miliknya berada di belakang dinding kedai pakaian itu.

“Apa boleh buat. Bukan rezeki kami dan kami perlu reda dengan apa yang berlaku. Saya berharap pihak berkuasa dapat menangkap penjenayah terbabit dalam masa singkat,” katanya.

Seorang lagi pemilik kedai emas di kompleks perniagaan berkenaan, Rokiah Awang, 60, berkata, dia bersyukur perompak terbabit tidak memecah dinding di sebelah peti besinya.

Menurutnya, peti besinya menyimpan barang kemas di premis itu itu hanya berada bersebelahan kedai pakaian dan mungkin perompak terbabit tidak mempunyai masa.

“Saya bersyukur kalau tidak mungkin saya mengalami nasib sama dengan dua pemilik kedai emas yang menjadi mangsa,” katanya yang mendakwa terdapat barangan kemas bernilai RM1 juta disimpan dalam peti simpanan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 6:09 AM