Najib hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar perbicaraan kes rasuah 1MDB. FOTO ROHANIS SHUKRI.
Najib hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar perbicaraan kes rasuah 1MDB. FOTO ROHANIS SHUKRI.
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, pihak pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak mendapatkan persetujuan Datuk Seri Najib Razak dalam keputusan penting berhubung usaha sama antara syarikat pelaburan strategik negara itu dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Pada prosiding hari ini, Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Tan Sri Ismee Ismail, bersetuju dengan cadangan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, bahawa pengurusan 1MDB mengelak daripada memaklumkan Najib selaku pemegang saham tunggal 1MDB mengenai keputusan berkenaan.

Keputusan itu membabitkan penukaran pelaburan dalam usaha sama itu kepada Nota Islamik Murabahah yang dikatakan bernilai AS$2.3 bilion.

Mengikut Artikel 117 Memorandum dan Artikel Persatuan 1MDB, setiap keputusan penting syarikat perlu mendapatkan arahan dan dan kelulusan perdana menteri (Najib).

Ismee bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee, bahawa pengurusan 1MDB tidak menasihati Ahli Lembaga pengarah (BOD) untuk mendapatkan persetujuan Najib mengenai keputusan berkenaan.

Ismee juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi tidak memaklumkan BOD mengenai keperluan untuk mendapatkan persetujuan perdana menteri (Najib).

Muhammad Shafee menyoal balas saksi pendakwaan ke-13 itu berhubung penukaran saham 1MDB kepada Nota Murabahah bagi usaha sama dengan PSI.

Apabila ditanya peguam, sama ada Najib memainkan peranan dalam penukaran saham berkenaan, saksi berkata, "berdasarkan kepada dokumen (Resolusi Pekeliling Pengarah), tidak."

Muhammad Shafee mencadangkan bahawa BOD sudah pasti melenting jika tahu mengenai perkara itu, yang dijawab Ismee, "Mungkin."

Ismee berkata, beliau hanya mengetahui kini bahawa banyak kali Nota Murabahah itu ditukar kepada ekuiti dan sebaliknya, yang bertujuan supaya ia tidak diketahui oleh BOD dan diteliti oleh auditor.

Katanya, perkara itu sudah semestinya dibangkitkan oleh BOD jika mereka tahu mengenainya.

Dalam perbicaraan sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa 1MDB membayar AS1 bilion pada 2009 bagi 40 peratus kepentingan dalam usaha sama manakala PetroSaudi memegang kepentingan selebihnya sebanyak 60 peratus, di mana dana itu kemudian ditukarkan kepada Nota Murabahah.

1MDB kemudian membayar sebanyak AS$830 juta di antara tahun 2010 dan 2011 bagi tujuan sama, dan pada tahun 2012, Nota Murabahah itu dikatakan bernilai AS2.2 bilion.

Ismee memberikan keterangan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sementara itu, Muhammad Shafee menyoal saksi mengenai laporan kewangan 1MDB bagi tahun 2013 yang sepatutnya dimuktamadkan oleh firma audit KPMG tetapi tidak dapat berbuat demikian walaupun selepas setahun bertemu dengan syarikat pelaburan itu.

Menjawab persoalan itu, Ismee berkata ia disebabkan KPMG tidak berpuas hati dengan dokumen dan jawapan yang diberikan pengurusan 1MDB mengenai pelaburan 1MDB dalam Brazen Sky Ltd, iaitu sebuah syarikat yang diperbadankan di British Virgin Islands oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Ismee berkata pada ketika itu, beliau meminta satu mesyuarat diadakan oleh pengurusan 1MDB, semata-mata untuk memaklumkan lembaga pengarah mengenai dokumen dan butiran yang diminta oleh KPMG mengenai isu pelaburan Brazen Sky, kerana KPMG menimbulkan syak wasangka terhadap 'aset asas' pelaburan.

Ismee bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa sepanjang proses itu, Najib tidak menghalang audit 1MDB oleh KPMG.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 5:49 PM