Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan sebuah klip video memaparkan seorang murid lelaki ditumbuk dan ditendang dalam sebuah tandas yang tular di media sosial sejak semalam berlaku di sebuah sekolah menengah di Butterworth, dekat sini.

Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying, berkata beliau difahamkan pihak sekolah dan ibu bapa mangsa sudah membuat laporan polis dengan siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan.

"Sekolah akan memberi bimbingan kaunseling kepada mangsa dan tindakan disiplin kepada pelaku bagaimanapun semua tindakan ini perlu tunggu polis siasat dulu dan kita hormat dan akan beri kerjasama penuh.

"Saya tidak ada butiran terperinci mengenai kes berkenaan oleh itu saya tidak dapat mengulas lanjut lagipun kes masih dalam siasatan polis jadi biar polis jalankan siasatan," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Khidmat Tanjong di sini, hari ini.

Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong turut menegaskan KPM tidak berkompromi dengan sebarang bentuk perlakuan buli terutamanya di sekolah yang sepatutnya menjadi kawasan selamat untuk murid menimba ilmu.

Beliau mengakui kes seumpama itu wujud sama ada serius atau tidak dan ia begitu cepat tersebar.

"Bagi saya kes buli memang ada sekolah sama ada serius atau tidak tetapi dalam keadaan sekarang ia tersebar dengan begitu cepat.

"Jadi, kita mesti cari fakta dan perlu lihat daripada segala aspek tidak sekadar tengok berdasarkan video

jadi semua ini Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) akan buat siasatan," katanya.

Katanya, KPM mungkin akan meminta bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk menjalankan siasatan di sekolah-sekolah terbabit sekiranya isu terbabit menjadi tidak terkawal.

Sejak semalam, sebuah klip video berdurasi 32 saat memaparkan seorang murid lelaki ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi oleh beberapa murid dengan sekumpulan murid turut dilihat menjadi 'penonton' aksi buli itu.

Kebanyakan mereka termasuk mangsa turut dilihat memakai pelitup muka dan berpakaian sukan.

MIN sudah tinggal di Malaysia sejak kecil. FOTO ihsan Min
MIN sudah tinggal di Malaysia sejak kecil. FOTO ihsan Min

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 3:18 PM