PU Azman ketika hadir dalam perbicaraan berhubung lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu. FOTO Azrul Edham
PU Azman ketika hadir dalam perbicaraan berhubung lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu. FOTO Azrul Edham
Ahmad Hasbi

Seremban: Saksi ketiga perbicaraan kes amang seksual membabitkan PU Azman memaklumkan kepada mahkamah bahawa penceramah selebriti itu meminta anaknya melumurkan minyak pada alat sulit remaja terbabit.

Wanita berkenaan yang juga ibu kepada salah seorang mangsa memaklumkan perkara itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin pada hari pertama perbicaraan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Saksi yang berusia 45 tahun memaklumkan perkara itu diketahuinya selepas diceritakan sendiri oleh anaknya.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 5 Februari 2022 di rumah penceramah berkenaan atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, 43, di Sendayan, di sini, yang ketika itu mangsa berusia 17 tahun.

"Anak saya cakap dia tak menipu. Dia duduk di ruang tamu kemudian Azman suruh ambil minyak di bilik tingkat atas rumah.

"Dia minta sapukan minyak itu di bahagian kemaluannya sebelum minta memasukkan kepadanya (PU Azman)," katanya.

Menurutnya, dia mula mengetahui perbuatan sumbang tertuduh selepas didedahkan dalam satu pertemuan yang diaturkan oleh guru sekolah kebangsaan anaknya pada 27 Ogos 2022.

Katanya, pendakwah bebas Firdaus Wong turut serta dalam pertemuaan yang diadakan di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor.

Wanita itu turut memaklumkan menerusi perbualan di aplikasi WhatsApp antara mangsa dengan PU Azman, penceramah itu mahu menjadikan anaknya sebagai anak angkat

"Anak saya kata nak pergi rumah Azman saja-saja. Dalam perbualan WhatsApp dia nak jadikan anak saya sebagai anak angkat.

"Mulanya saya tidak percaya sebab Azman seorang selebriti, tetapi anak saya meyakinkan untuk pergi ke rumah Azman," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Husni Fairos Ramly dan Goh Hsiao Tung manakala tertuduh pula diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad, Fahmi Adilah dan Norman Mohd Nasir.

Media pada 12 Oktober 2022 melaporkan PU Azman didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.

Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan, Nilai pada 6 Julai tahun lalu.

Selain itu, PU Azman turut berdepan tujuh lagi pertuduhan berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 5:16 PM