MOHAMED Khaled (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Johor Bil 2/2023. FOTO Izz Laily Hussein
MOHAMED Khaled (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Johor Bil 2/2023. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Umno Johor akan menghantar bantuan jentera pilihan raya ke tiga negeri yang bakal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setiap bahagian Umno Johor akan digerakkan ke Selangor, Terengganu dan Negeri Sembilan.

"Bahagian Umno di Johor akan bertugas di beberapa bahagian di tiga negeri iaitu di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

"Ini merangkumi 14 bahagian di Selangor, lapan bahagian di Negeri Sembilan dan tiga di Terengganu.

"Tindakan ini bukan sahaja kerana PRN Johor tempoh hari, negeri lain datang membantu, tetapi kita juga rasakan bahawa ini adalah satu perjuangan bersama yang kita angkat untuk jayakan parti kita dalam PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Johor Bil 2/2023 di sini, hari ini.

PRN akan diadakan di Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah selepas pembubarn Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri itu.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, jentera Umno yang digerakkan akan membantu rakan-rakan di dalam Kerajaan Perpaduan.

"Umno akan hantar jentera ke kawasan yang Barisan Nasional (BN) bertanding. Namun, saya percaya kehadiran jentera ke kawasan itu, sekiranya sesebuah parlimen itu ada dua kawasan DUN yang meletakkan calon BN dan calon daripada parti di bawah Kerajaan Perpaduan, tumpuan juga akan diberikan kepada mereka.

"Saya percaya, mereka juga akan membantu mempertahankan rakan yang sememangnya menerima Umno dan BN," katanya.

Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden Umno berkata, pembahagian kerusi DUN kepada BN pada PRN nanti adalah berasaskan kepada formula yang dipersetujui semua kepimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, BN dijangka bertanding 45 peratus daripada 245 kerusi DUN pada enam PRN, manakala baki selebihnya pula akan ditandingi PH.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 4:28 PM