JALALUDDIN Alias. FOTO Arkib NSTP
JALALUDDIN Alias. FOTO Arkib NSTP
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: "Kita tunggulah malam ini sama ada nama yang tular betul atau tidak, selebihnya saya tidak tahu apa-apa."

Begitu kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias ketika diminta mengulas senarai nama calon parti itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang tular di media sosial.

Menurutnya, senarai calon yang akan bertanding untuk negeri ini akan diumumkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam ini.

Katanya, setakat ini senarai nama calon bertanding yang tular dianggap tidak betul sehingga pengumuman rasmi dibuat.

"Perkara seperti ini biasa berlaku setiap kali pilihan raya diadakan dan selagi ia belum diumumkan, ia dianggap tidak sahih," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Berdasarkan senarai nama yang tular, 50 peratus calon adalah muka baharu bagi 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan termasuk kerusi Dun Lenggeng yang menjadi perebutan di antara Umno dan Amanah.

Antara nama disenaraikan termasuklah anak bekas Ahli Parlimen Jempol Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad iaitu Mohd Najib di Dun Bagan Pinang dan isteri Mohd Isa, Puan Seri Bibi Sharliza Mohd Khalid di Dun Juasseh.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu turut disenarai sebagai calon Dun Pertang manakala Ahli Parlimen Rembau yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan turut disenarai bagi mempertahankan Dun Rantau.

Media sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid memaklumkan sudah menerima semua senarai calon yang akan mewakili parti itu di enam negeri yang akan menghadapi PRN.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 10:18 AM