RAMLAN (dua dari kanan)  menyampaikan Anugerah Tokoh Murid Cemerlang JAKOA bagi pelajar SPM, Nurul Atiqah Ithnani yang menerima keputusan SPM 10A sambil disaksikan Sapiah dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ajis Sitin (kiri) pada Majlis Anugerah Murid Cemerlang JAKOA Tahun 2022 di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi.  FOTO AIZUDDIN SAAD
RAMLAN (dua dari kanan) menyampaikan Anugerah Tokoh Murid Cemerlang JAKOA bagi pelajar SPM, Nurul Atiqah Ithnani yang menerima keputusan SPM 10A sambil disaksikan Sapiah dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ajis Sitin (kiri) pada Majlis Anugerah Murid Cemerlang JAKOA Tahun 2022 di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi. FOTO AIZUDDIN SAAD
Suliati Asri


Bangi: Kerajaan memperuntukkan RM64.8 juta kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi perbelanjaan bermula dari sekolah rendah, menengah dan seterusnya ke institut pengajian tinggi (IPT) demi membantu masyarakat Orang Asli mendapatkan pendidikan yang sepatutnya.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Ramlan Harun berkata ia termasuk bantuan pengangkutan RM36.8 juta, wang saku RM12 juta dan yuran RM638,000.

Menurutnya, kerajaan turut memperuntukkan bantuan kewangan sebanyak RM6,288,800 bagi menggalakkan peningkatan bilangan pelajar Orang Asli melanjutkan pengajian ke IPT.

"Kementerian melalui JAKOA menyediakan pelbagai bantuan dan insentif bagi meningkatkan taraf pendidikan dalam memastikan kesejahteraan hidup masyarakat Orang Asli setanding masyarakat arus perdana," katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Murid Cemerlang JAKOA 2022 di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Jakoa Sapiah Mohd Nor.

Seramai 64 murid berjaya memperoleh 5A, 15 orang 7A dan tiga orang yang masing-masing memperoleh keputusan 8A dan 9A, manakala seorang pelajar memperoleh 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menjadikan keseluruhan 86 orang.

SEBAHAGIAN penerima Anugerah Murid Cemerlang JAKOA menunjukkan sijil penghargaan pada Majlis Anugerah Murid Cemerlang JAKOA Tahun 2022.  FOTO AIZUDDIN SAAD
SEBAHAGIAN penerima Anugerah Murid Cemerlang JAKOA menunjukkan sijil penghargaan pada Majlis Anugerah Murid Cemerlang JAKOA Tahun 2022. FOTO AIZUDDIN SAAD

Bagi keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula, tujuh orang memperoleh gred purata 3.50 ke atas dari 38 pelajar yang berjaya mencatat keputusan cemerlang.

Ramlan berkata, ia memperlihatkan peningkatan yang cukup memberangsangkan.

Katanya, seramai 751 pelajar Orang Asli sedang menuntut dalam pelbagai peringkat di IPT membabitkan beberapa pelbagai jurusan.

"Jika dilihat daripada jumlah itu, kita dapati masyarakat Orang Asli kini mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai kepentingan pendidikan."Dengan pelbagai peluang yang turut disediakan KKDW dan JAKOA, ia membuktikan, jika diberi peluang mereka boleh berjaya," katanya.

Mengulas mengenai anak-anak Orang Asli yang tidak cemerlang dalam pelajaran, Ramlan berkata KKDW melalui JAKOA turut menawarkan peluang program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk memperoleh kemahiran praktikal yang berharga, memenuhi potensi pekerjaan dan memperluas peluang kerjaya.

Katanya, kerajaan menyediakan pelbagai platform dalam pembelajaran di bawah KKDW sendiri, terdapat 260 institut TVET yang menyediakan pelbagai program.

NURUL Atiqah Ithnani (kiri) bersama penerima Anugerah Tokoh Murid Cemerlang JAKOA bagi pelajar STPM, Mazwin Fawlin Mohd Mohd Azlin dari Pahang yang menerima keputusan STPM CGPA 3.84 pada Majlis Anugerah Murid Cemerlang JAKOA Tahun 2022. FOTO AIZUDDIN SAAD
NURUL Atiqah Ithnani (kiri) bersama penerima Anugerah Tokoh Murid Cemerlang JAKOA bagi pelajar STPM, Mazwin Fawlin Mohd Mohd Azlin dari Pahang yang menerima keputusan STPM CGPA 3.84 pada Majlis Anugerah Murid Cemerlang JAKOA Tahun 2022. FOTO AIZUDDIN SAAD

"TVET adalah penting dalam memperkuat tenaga kerja dengan kemahiran yang relevan dan memenuhi permintaan industri.

"Dengan menyediakan akses kepada TVET, KKDW dan JAKOA amnya dapat memberi peluang untuk pembangunan individu serta perkembangan dan kemajuan komuniti Orang Asli secara keseluruhan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAKOA Sapiah Mohd Nor berkata dengan prestasi pelajar orang asli yang sentiasa meningkat setiap tahun, pihaknya yakin dapat memenuhi indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan KKDW di yang mensasarkan 400 pelajar berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

"Dalam sistem JAKOA, tahun lepas saja seramai 320 pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang melebihi sasaran 300 pelajar.

"Hari ini saja, kita dapat menyaksikan lebih 100 pelajar yang mencapai keputusan yang baik.

"Ditambah dengan tajaan dan biasiswa dari JAKOA. Insya-Allah tidak ada masalah bagi pihak JAKOA untuk mencapai KPI itu," katanya.

Selain itu, JAKOA menerusi cawangannya akan mengenal pasti pelajar yang berpotensi dan melaksanakan pelbagai program hala tuju pelajar.

"Kita juga akan mengenalpasti dan sediakan peluang dengan kerjasama daripada pelbagai institusi yang ada. Dengan itu, mereka bukan saja diberi pendedahan tetapi dapat merancang penempatan atau bidang yang mahu diceburi," katanya.

Bagi pelajar cemerlang SPM Nurul Atiqah Ithnani Idrus cukup bermakna kerana ia bukan saja berjaya memperoleh 10A tetapi juga berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Katanya, selain berasa gembira kejayaan itu juga cukup bermakna kerana berjaya membuktikan kepada masyarakat bahawa orang asli sudah maju.

"Kejayaan ini bukan untuk saya seorang tetapi semua anak orang asli. Ia membuktikan orang asli boleh berjaya dan kami juga sama seperti manusia lain.

"Dengan kejayaan ini juga, saya berharap agar masyarakat orang asli akan lebih terbuka dengan dunia luar. Sambung belajar, masuk sekolah cemerlang dan universiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 6:30 AM