MAZWIN Faulin (dua dari kiri) ketika menerima Anugerah Tokoh Murid Cemerlang JAKOA bagi pelajar STPM daripada Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Seri Ramlan Harun sambil disaksikan Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ajis Sitin (kiri). FOTO Aizuddin Saad
MAZWIN Faulin (dua dari kiri) ketika menerima Anugerah Tokoh Murid Cemerlang JAKOA bagi pelajar STPM daripada Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Seri Ramlan Harun sambil disaksikan Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor dan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ajis Sitin (kiri). FOTO Aizuddin Saad
Suliati Asri


IMPIAN mahu mengubah nasib keluarga ke arah yang lebih baik membuatnya tekad untuk belajar bersungguh-sungguh demi berjaya dalam pelajaran.

"Saya sedar tidak dibesarkan dalam keluarga yang senang. Oleh itu, saya mahu berjaya dan menjadi contoh kepada adik-adik dan rakan yang lain untuk berjaya bersama-sama," kata penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Mazwin Faulin Mohd Azlin, 20.

Mencatatkan keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.84 dalam STPM 2022, kejayaannya itu cukup bermakna bukan saja buat dirinya, tetapi juga kedua-dua ibu bapanya.

Mazwin Faulin berkata, selama ini ibu bapanya adalah pendorong untuknya terus berjaya dalam pelajaran.

"Mak dan ayah saya bukan golongan berpendidikan, tetapi mereka sentiasa mendorong saya belajar rajin-rajin kerana nanti kalau senang, bukan mereka. Diri saya sendiri juga.

"Mereka juga sudah banyak berkorban dalam memastikan saya mendapat pendidikan terbaik.

SEBAHAGIAN daripada penerima Anugerah Murid Cemerlang JAKOA menunjukkan sijil penghargaan pada Majlis Anugerah Murid Cemerlang JAKOA Tahun 2022.  FOTO Aizuddin Saad
SEBAHAGIAN daripada penerima Anugerah Murid Cemerlang JAKOA menunjukkan sijil penghargaan pada Majlis Anugerah Murid Cemerlang JAKOA Tahun 2022. FOTO Aizuddin Saad

"Oleh itu, apabila berasa mahu berputus asa dalam menimba ilmu, saya akan ingat kembali segala penat lelah yang saya lalu dengan mak dan ayah.

"Saya juga akan sentiasa mengingatkan diri sendiri, kalau putus asa sekarang mesti rugi dengan segala pengorbanan yang dilakukan. Jadi, saya terus mara ke hadapan," katanya yang juga cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia dengan keputusan 8A1B.

Berasal dari Kampung Rancangan Penempatan Semula (RPS) Bukit Serok dekat Muadzam Shah, Rompin, Pahang Mazwin Faulin berkata, dia juga tidak terlepas dari cabaran dalam mencari ilmu.

Katanya, selain dari kekangan kewangan, masalah yang sering dihadapi adalah capaian internet.

KENANGAN bersama rakan sekolah yang sentiasa menjadi kenangan manis buat Mazwin Faulin.
KENANGAN bersama rakan sekolah yang sentiasa menjadi kenangan manis buat Mazwin Faulin.

"Tanpa akses internet, ia menyukarkan saya menyiapkan kerja sekolah.

"Jadi, saya dengan kawan-kawan akan pergi ke pusat internet berdekatan. Di situ, kami memanfaatkan masa dan belajar bersama sampai petang," katanya.

Ramai yang menganggap pembelajaran di tingkatan enam atau kini dikenali sebagai Kolej Pra-Universiti adalah susah.

Namun, bagi Mazwin Faulin, belajar di mana-mana pun susah juga, tetapi asalkan ada niat nak belajar dan usaha, apa saja kesusahan dapat dihadapi.

"Oleh itu, ketika di tingkatan enam, apabila diberi kerja sekolah, jangan bertangguh menyelesaikannya dan paling utama mesti beri kerjasama dengan guru," katanya.

Berkongsi tip yang digunakan ketika belajar, jelas Mazwin Faulin, teknik pembelajaran paling berkesan adalah dengan mengikut kesesuaian diri sendiri.

"Masa belajar atau ulang kaji, kita jangan ikut cara orang belajar. Ini kerana ada orang boleh belajar di awal pagi, ada pula yang boleh belajar sehingga lewat malam.

"Tapi, saya lebih suka menggunakan teknik 'pomodoro' iaitu 30 minit belajar, lima minit rehat.

MAZWIN Faulin ketika menerima anugerah kecemerlangan SPM 2021.
MAZWIN Faulin ketika menerima anugerah kecemerlangan SPM 2021.

"Selain itu, kalau tak faham, saya akan rujuk kawan atau cikgu," katanya.

Dari segi kokurikulum pula, nyata Mazwin Faulin juga adalah pelajar yang aktif.

Di sekolah, Mazwin Faulin juga menggalas beberapa jawatan penting dan juga adalah seorang pengawas dan Exco akademik ketika di tingkatan enam.

Malah, dia juga menunjukkan prestasi sangat cemerlang sama ada dalam bidang kurikulum dan kokurikulum.

"Ketika di sekolah saya aktif dalam pelbagai aktiviti antaranya perkhemahan unit beruniform dan menyertai sketsa P Ramlee bagi karnival ko-akademik PPU SMK Muadzam Shah 2022.

"Saya juga mengikuti program luar sekolah antaranya Program Malaysian Future Leader school (MFLS), Second International Fun Walk for Peace in Celebration of The United Nations International Day Of Peace 2020 dan Ekspedisi Merdeka Semekar di Bukit Panorama Sungai Lembing, Pahang," katanya.

Berpegang dengan prinsip hidup 'It Always Seem Impossible Until it's Done,' Mazwin Faulin yang berketurunan suku Jakun ini bercita-cita menjadi guru yang sedia mendidik anak-anak pelajar yang memerlukan.

"Saya sangat berminat dengan bidang sastera terutama puisi dan syair. Oleh itu, saya mahu menjadi guru Bahasa Melayu," katanya yang merancang melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan.

"Untuk adik-adik yang sedang belajar atau mahu sambung belajar, teruskan apa yang kamu mahu buat.

"Ambil apa saja bidang, jangan risau. Teruskan asalkan ada niat dan usaha untuk sambung belajar. Lebih penting, sentiasa dengan cakap cikgu," nasihat Mazwin Faulin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 7:00 AM