ANWAR diiringi Ahmad Zahid bersalaman dengan pengunjung yang hadir Program Sentuhan Kasih Desa - Sesi Bual Bicara Komuniti TVET di Bertam Square, Kepala Batas.
ANWAR diiringi Ahmad Zahid bersalaman dengan pengunjung yang hadir Program Sentuhan Kasih Desa - Sesi Bual Bicara Komuniti TVET di Bertam Square, Kepala Batas.
Oleh Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Ekspo Institusi Pendidikan Latihan dan Vokasional (TVET) anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang berlangsung selama tiga hari di Bertam Square, di sini mendapat sambutan luar biasa apabila dikunjungi lebih 300,000 pengunjung secara fizikal dan maya, melepasi sasaran ditetapkan.

Ia sekali gus mencapai objektif serta matlamat pihak kementerian dalam usaha memperkasakan bidang kemahiran kepada belia khususnya lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan komited untuk mempromosi serta mempertingkatkan lagi peluang pendidikan yang menjadi tunjang ke arah pembangunan masyarakat cemerlang.

Katanya, TVET sering disalah erti sebagai pilihan kedua dan hanya layak untuk individu yang kurang cemerlang dari segi pencapaian akademik.

"Pada hakikatnya, bidang TVET ini telah terbukti melahirkan ramai graduan yang mempunyai peluang pekerjaan yang cerah dalam industri.

"Apatah lagi, kebolehpasaran graduan TVET ketika ini sudah mencapai sehingga 92.5 peratus membuktikan institusi ini bukan peluang pendidikan kedua." katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Sentuhan Kasih Desa - Sesi Bual Bicara Komuniti TVET bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika perasmian penutup majlis berkenaan di Bertam Square, di sini, semalam.

Di samping itu, pada program yang sama, Ahmad Zahid turut menyaksikan pertukaran dokumen usahasama antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd (NH EV Tech).

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET negara berkata, pihaknya menyarankan kepada kerajaan untuk melaksanakan dasar baharu yang menggariskan gaji minimum RM2,000 sebulan untuk graduan TVET.

Tegasnya, adalah tidak adil apabila graduan TVET memperoleh gaji minimum RM1,500 seperti pekerja lepasan sekolah.

"Kalau lepasan SPM dan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) masuk ke bidang industri diberikan gaji minimum sebanyak RM1,500, dasar majikan seluruh negara juga tetapkan jumlah sama untuk graduan TVET.

"Ini tidak adil buat graduan lepasan TVET, justeru niat saya mahu minta satu saja.

"Perdana Menteri kena memberi dasar baru kelulusan keluaran TVET kena gaji minimum RM2,000," katanya.

Dalam pada itu, seorang pengunjung Salasiah Ngatino, 53, berkata, sebagai ibu dia menyokong penganjuran ekspo yang memberi pendedahan kepada anak muda berhubung program kemahiran.

"Zaman sekarang, banyak pekerjaan lebih tertumpu kepada kemahiran bukan sahaja teori dan oleh sebab itu pendedahan seperti ini penting," katanya.

Sementara itu, pelajar Syafikah Mohd Sabri, 19, berkata, TVET mencakupi pelbagai bidang kemahiran yang luas dan memberi ruang kepada anak muda yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti mempelajarinya.

"Bidang TVET ini sebenarnya seronok untuk dipelajari selain mampu membina kerja lebih baik.

"Melalui ekspo seperti ini ia bagus kerana mendapat pendedahan secara menyeluruh apa itu TVET yang ia turut memberi manfaat kepada saya yang kini belajar dalam bidang solekan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 5:44 PM